PKP: Lanjutan moratorium antara lima perkara dipohon PERDASAMA

0
32
Beberapa inisiatif diperkenal kerajaan bagi membantu usahawan kecil semasa PKP fasa pertama tahun lalu./ Gambar hiasan dari media sosial

LABUAN – Lanjutan moratorium bayaran balik pinjaman antara lima perkara yang diminta Persatuan Pedagang dan Pengusaha Melayu Malaysia (PERDASAMA) kepada kerajaan untuk dipertimbangkan bagi membantu usahawa susulan pelaksanaan semula Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Dalam kenyataan kepada Bernama hari ini, empat perkara lain diminta PERDASAMA adalah pengurangan atau menghapuskan yuran lesen perniagaan, memberi bantuan modal perniagaan, menurunkan tarif bulanan elektrik serta pengurangan bayaran bulanan langganan internet.

“PERDASAMA sentiasa menyambut baik sebarang langkah kerajaan bagi membendung penularan COVID-19 serta usaha membantu usahawan dan berharap agar perkara di atas dapat dipertimbangkan.

“Implikasi beban kewangan yang ditanggung oleh komuniti peniaga juga harus diambil kira dalam usaha mengawal penularan pandemik menerusi pelaksanaan semula PKP selain kawalan pergerakan lain,” katanya.

Selain itu, PERDASAMA turut menyanjung tinggi keputusan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah memberi perkenan cadangan kerajaan mengenai pembentukan jawatankuasa bebas dianggotai ahli-ahli Parlimen kerajaan, pembangkang serta pakar kesihatan untuk mengesyorkan jika tempoh pelaksanaan darurat ini dapat ditamatkan lebih awal.

Dalam perkembangan berasingan, Mejar (B) Datuk Abdull Rahim Saad telah dipilih sebagai Presiden PERDASAMA yang baharu berkuat kuasa bagi penggal 2020/2023.

Dalam satu kenyataan kepada Bernama hari ini, PERDASAMA berkata Abdull Rahim dipilih sebulat suara oleh semua perwakilan yang hadir dalam Mesyuarat Agung Tahunan PERDASAMA ke-22 di Kuala Lumpur pada 31 Disember 2020.

Abdull Rahim akan meneruskan kepimpinan Tan Sri Matshah Safuan yang telah melepaskan jawatan presiden untuk memberi laluan kepada kepimpinan baharu selepas menerajui PERDASAMA selama tiga tahun.

Matshah merupakan pengasas PERDASAMA selama 22 tahun bersama-sama Datuk Moehamad Izat Emir.

Abdull Rahim sebelum ini memegang jawatan sebagai naib presiden 1 selama 19 tahun dan tiga tahun sebagai timbalan presiden selain pernah menjadi Yang Dipertua PERDASAMA Kuala Lumpur.

Turut dipilih sebulat suara dalam pemilihan tersebut adalah Datuk Mohd Fauzi Zakaria sebagai timbalan presiden yang sebelum ini adalah setiausaha agung PERDASAMA dan bekas Yang Dipertua PERDASAMA Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.

Mohd Azamanizam Baharon dipilih sebagai naib presiden 1. Beliau merupakan Yang Dipertua PERDASAMA Selangor.

Selain itu, Abdull Rahim telah melantik Yang Dipertua PERDASAMA Sabah Datuk Junaidi Datuk Abdul Rahman sebagai setiausaha agung PERDASAMA yang baharu.

Menurut kenyataan itu, kepimpinan baharu PERDASAMA bertekad akan terus berusaha mengangkat persatuan itu sebagai wadah pembela pengusaha dan pedagang Melayu dan akan meneruskan perjuangan untuk menjadikannya sebagai satu platform memaju dan membangunkan usahawan-usahawan Melayu dan Bumiputera.