
PUTRAJAYA – Perbuatan rasuah bukan lagi isu terpencil, sebaliknya negara melihat banyak pendedahan mengenai pelanggaran integriti membabitkan penjawat awam.
Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Tan Sri Mohd Khairul Adib Abd Rahman berkata, yang terkini membabitkan kartel daging pada akhir tahun lalu.
Sambil menyifatkan ia umpama selumbar dalam daging yang akan bernanah dan membusuk, Mohd Khairul Adib berkata, setiap perlakuan rasuah yang dilakukan oleh segelintir kecil penjawat awam akan akhirnya terpalit kepada kumpulan majoriti yang berintegriti dan melaksanakan tugas serta tanggungjawab dengan amanah.

Memetik laporan BH Online, justeru, katanya, penjawat awam digesa mengambil sikap ‘jaga tepi kain’ bagi memastikan gejala rasuah dalam perkhidmatan awam, dapat ditangani dan tidak merebak menjadi barah.
Beliau berkata, sepanjang 2020, di sebalik kelancaran perkhidmatan awam berdepan pandemik COVID-19 dan perubahan pentadbiran, sektor itu juga menyaksikan beberapa penjawat awam disiasat kesalahan rasuah termasuk dalam isu kad pengenalan, kelonggaran untuk kemasukan warga asing ke negara ini serta gangguan bekalan air.
“Jika dulu kita melihat ia hanya terpencil, kerana ia membabitkan sebilangan kecil penjawat awam tetapi kini kita tidak boleh duduk diam kerana apa jua tindakan kita akan akhirnya ia sampai di hadapan kita.
“Kita melihat isu yang saya katakan tadi lambat laun akan menjadi masalah kita, jadi kita tidak boleh duduk diam.
“Inilah kumpulan minoriti yang seharus diketepikan. Kita adalah kumpulan majoriti dan ramai lagi penjawat awam yang berpegang teguh kepada prinsip penjawat awam,” katanya ketika menyampaikan Amanat KPPA 2021: Mendepani Cabaran Melangkaui Ekspektasi, secara dalam talian, pagi ini.
Amanat itu disiarkan secara langsung menerusi Facebook Jabatan Perkhidmatan Awam.
Mohd Khairul Adib berkata, selain kes yang didedahkan melalui media massa, ada juga ketirisan yang berlaku dalam perkhidmatan awam dan dilihat sebagai biasa.
Katanya, tidak menghairankan apabila orang ramai mengaitkan jabatan tertentu dengan pegawai yang korup dan terbabit dengan rasuah.
Beliau berkata, penjawat awam tidak seharusnya membiarkan kumpulan minoriti itu mencalar arang di muka kakitangan lain, sebaliknya mereka perlu berperanan perkhidmatan yang diberikan bersih dan berintegriti.
Pada masa sama, Mohd Khairul Adib berkata, penjawat awam tidak seharusnya menunggu habuan dan hadiah bagi mendedahkan perbuatan salah laku rakan sekerja atau kakitangan lain yang diketahuinya atau takut untuk membuat laporan.
Katanya, ia tidak sepatutnya menjadi isu kerana yang perlu dipertahankan itu adalah rumah mereka sendiri.
“Sekiranya kita sendiri tidak mempunyai semangat untuk membersihkan rumah kita, siapa lagi yang harus membersihkannya.
“Lambat laun, jika kita tidak bertindak sekarang, ia akan menjadi lebih sukar untuk ditangani,” katanya.