KUALA LUMPUR – Selepas tiga menteri, hari ini Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Zahidi Zainul Abidin pula disahkan positif COVID-19.
Kementerian Komunikasi dan Multimedia, berkata Zahidi yang juga Ahli Parlimen Padang Besar disahkan positif selepas menerima keputusan ujian saringan, pagi tadi.
Ketua UMNO Bahagian Padang Besar itu menjalani ujian saringan COVID-19 sebaik tiba di ibu negara dari Pulau Pinang, pada Isnin lalu.
“Beliau dibawa ke Hospital Sungai Buloh, Selangor untuk menjalani rawatan lanjut mengikut garis panduan ditetapkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
“Sebelum ini, beliau menjalani ujian saringan COVID-19 pada 25 Disember 2020 dan keputusan ketika itu ialah negatif.
“Datuk Zahidi kini berada dalam keadaan stabil dan memohon maaf atas segala kesulitan yang timbul. Beliau juga berdoa semoga Allah SWT mempermudah urusan semua yang terbabit,” kata kenyataan itu, hari ini.

Tiga menteri yang kini dalam raawatan selepas disahkan positif COVID-19 adalah Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Seri Mustapa Mohamed, Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rina Mohd Harun dan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin.
Jangkitan dalam kalangan menteri ketika ini dipercayai berlaku selepas Mustapa yang menghadiri mesyuarat Jemaah Menteri pada Rabu minggu lalu, disahkan positif COVID-19 pada Ahad lalu.
Susulan itu, semua menteri Kabinet diarah menjalani ujian saringan COVID-19 kelmarin.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri pernah disahkan positif pada 5 Oktober selepas pulang dari Sabah.