KUALA LUMPUR – Ahli kumpulan nasyid terkenal Brothers iaitu Faiz mengesahkan dirinya positif Covid-19.
Menurut Faiz atau nama sebenarnya Abdullah Faiz Mohamad,44, dia mula berasa tidak sedap badan sejak minggu lepas sebelum membuat pemeriksaan ujian calitan (swab test) di klinik kesihatan sebagai langkah berjaga-jaga.
“Sejak minggu lepas, saya sudah mula rasa sengal badan dan berasa sejuk seperti mahu demam. Jadi saya membuat keputusan untuk asingkan diri terlebih dahulu di bilik atas di rumah saya.
“Bilik itu sebenarnya bilik mak saya, tetapi dia bersetuju untuk saya gunakan buat sementara waktu kerana di dalam bilik berkenaan ada bilik air. Jadi ia tidak memerlukan saya untuk banyak pergerakan keluar dan masuk bilik di rumah.
“Kemudiaan, Isnin lalu saya pergi membuat pemeriksaan di klinik kesihatan dan keputusannya saya disahkan positif Covid-19.
“Saya diberikan gelang ‘pink’ dan diarahkan untuk kuarantin di rumah sehingga diambil oleh ambulan. Atau jika sehingga 19 Januari ini tiada ambulan yang datang ke rumah, saya boleh ke klinik kesihatan untk menanggalkan gelang tersebut,” katanya.

Dalam pada itu, Faiz memaklumkan ahli keluarganya juga sudah menjalani ujian calitan mengikut prosedur yang telah ditetapkan.
“Semua ahli keluarga termasuk mak saya juga sudah membuat ujian calitan. Cuma dalam keadaan sekarang ini saya sangat-sangat bersyukur kerana sudah ambil langkah berjaga-jaga sejak dari awal.
“Keadaan anak-anak, isteri serta mak saya secara fizikal nampak sihat dan tidak mengalami simptom seperti yang saya alami,” ujarnya.
Faiz memohon maaf kepada mreka yang pernah berhubung dengannya sejak minggu lalu dan mungkin bimbang dengan keadaan diri.
“Secara umumnya saya mohon maaf kepada semua yang mungkin akan terkesan dan risau.
“Saya pun tidak tahu ‘benda’ itu ada dalam diri kerana tidak alami simptom yang membimbangkan. Cuma, alhamdulillah saya berjaga-jaga dari awal.
“Doakan semoga saya segera sembuh dan ahli keluarga saya juga dijauhkan daripada wabak Covid-19 ini,” katanya.