Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Adham Baba (kiri) berbincang bersama Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah sebelum mesyuarat khas Majlis Keselamatan Negara Oktober lalu./ Gambar laman web PMO

DARURAT bila sudah diisytihar dan diwarta tidaklah boleh dicabar waima mahkamah sekalipun. Ini telah diputuskan mahkamah tertinggi separuh abad lalu.

Begitulah tafsiran badan kehakiman berhubung Perkara 150 Perlembagaan Persekutuan mengenai kuasa darurat.

Setuju tak setuju, itu soal lain. Boleh tulis buku tiga empat judul pun untuk berdebat mengenainya.

Dalam abad ke-21 dan era media sosial, tak salah berhujah secara rasional dan ilmiah mengenai kewajaran sesuatu darurat.

Benar darurat memberi kuasa yang luas kepada kerajaan. Kuasa luas ini yang sering dibimbangi oleh pengkritik peruntukan darurat zaman berzaman.

Dari Belfast, United Kingdom (UK) hinggalah ke Ahli Parlimen PH Pokok Sena, Datuk Mahfuz Omar.

Tapi di pihak kerajaan, dijelaskan panjang lebar yang mereka memerlukannya untuk tangani wabak COVID-19 dan mengurskan ekonomi. Nyawa rakyat keutamaan.

Ingat, wabak juga salah satu sebab dibenarkan dalam Perlembagaan Persekutuan untuk diisytihar darurat.

Dengan ini kerajaan boleh menggubal undang-undang yang dikenali ordinan tanpa perlu ke Parlimen.

Maknanya kerajaan yang gubal undang-undang, bukannya Dewan Rakyat dan Dewan Negara.

Sebab apa, nama pun darurat. Dalam keadaan darurat, ia perlu dalam keadaan luar biasa.

Apa yang kerajaan nak buat darurat 2021? Ini sudah ada disebut Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Ismail Sabri Yaakob./ Gambar FB Mindef

Antaranya meningkatkan jumlah hukuman kepada pihak ingkar Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Tapi ada mempersoalkan bukankah sudah ada Akta Kawalan Pencegahan Penyakit Berjangkit 1984 (Akta 342).

Benar. Tapi dendanya hanya RM1,000. Sebab itu ada premis hiburan beroperasi sesuka hati sebagai contoh walau masih dilarang.

Satu malam untung beribu ringgit, untuk korbankan RM1,000 bukan masalah kata Menteri Kanan Pertahanan itu berbanding untung mereka.

Apakah mendesak sangat? Kerajaan ada data yang lebih menyeluruh. Tapi yang kita tahu, kalau tidak dibendung penularan COVID-19 ia boleh menyebabkan jangkitan 8,000 kes sehari.

Kalau benar, mana nak letak pesakit? Stadium Negara? Axiata Arena? Hotel OYO atau lima bintang?

Yang tak bersetuju boleh teruskan suarakan pandangan, boleh bangkitkan yang kematian di UK akibat virus ini sudah 1,000 lebih sehari tapi tak ada pun darurat macam Malaysia.

Tapi kena tanya juga kemampuan kantung negara seperti UK untuk urus wabak ini dan wang nak beli vaksin dengan lebih awal.

Teruskan berhujah tak ada masalah, hak lain masih ada cuma dengan darurat kali ini ada cabang yang tak berfungsi selain pilihan raya kecil atau umum tidak perlu diadakan.

Bangunan Parlimen Malaysia GAMBAR: Abd Razak Aid

Bahasa bukunya ialah badan perundangan atau legislatif. Bahasa kita, Parlimen. Itu digantung. Kehakiman dan eksekutif (Kabinet) masih berfungsi.

Pentadbiran masih ditunjangi orang awam. Cuma tentera diberi kuasa macam polis, bukan lagi sekadar membuat citizen arrest atau tangkapan awam.

Kesimpulan, undang-undang darurat memang sejak azali akan dikritik dan dipersoal. Namun untuk mengandaikan bukan-bukan, simpan dahulu selagi belum terjadi.

Yang tak perlu nak diandai ialah keseriusan kes COVID-19. Hari ini tertinggi lagi selepas dua hari.

Bak kata kata bidalan, nak tahu dalamnya air tanyalah memerang, bukan burung.

Dalam konteks itu, Persatuan Perubatan Malaysia (MMA), pertubuhan doktor terbesar juga menyokong darurat dan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Begitulah keadaannya. Tanyalah mereka yang arif di bidangnya.