PUTRAJAYA – Datuk Dr Norhizan Ismail dilantik sebagai Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan (Perubatan), Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Pelantikan Dr Norhizan berkuat kuasa esok bagi menggantikan Datuk Dr Rohaizat Yon yang telah bersara pada 31 Disember 2020.

Perkara itu dimaklumkan oleh Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah menerusi satu hantaran di Facebook milik beliau.

Dr Noor Hisham Abdullah bersama Dr Norhizan Ismail yang dilantik TKP Kesihatan (Perubatan). Gambar FB Dr Noor Hisham

“Tahniah dan syabas diucapkan kepada Datuk Dr Norhizan Ismail yang telah dilantik sebagai Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan (Perubatan) KKM yang baharu berkuat kuasa 15 Januari 2021 menggantikan Datuk Dr Rohaizat Haji yang telah bersara pada 31 Disember 2020.

“Sebelum ini, Dr Norhizan merupakan Pengarah, Bahagian Perkembangan Perubatan KKM. Beliau juga pernah memegang jawatan di antaranya sebagai Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Kedah serta Pahang dan Timbalan Pengarah (Survelan), Bahagian Kawalan Penyakit, KKM.

“Beliau juga berpengalaman luas di peringkat negeri, daerah dan hospital,” kata Dr Noor Hisham.

Tambah Dr Noor Hisham, semoga kecemerlangan Program Perubatan KKM dapat diteruskan dengan sebaiknya di dalam suasana yang amat getir menghadapi pandemik COVID-19.

“Selamat menjalankan tugas dan amanah,” ujarnya.