KUALA LUMPUR – Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dijangka mengumumkan dividen 2020 yang “memuaskan” dalam tempoh terdekat.
Sumber yang rapat dengan organisasi itu memberitahu portal berita FMT, perbincangan Lembaga Pengarah KWSP bertumpu kepada pemberian dividen yang “sama atau kurang sedikit” daripada kadar sebelum ini.
“Ramai menjangkakan kadar dividen 2020 akan terjejas “pada paras jauh lebih rendah” berbanding kadar 2019, kerana Covid-19, namun KWSP tetap memberikan pulangan memuaskan kepada pencarum,” kata sumber itu.
Untuk tahun kewangan 2019, KWSP meluluskan dividen 5.45% bagi Simpanan Konvensional dan 5.0% bagi Simpanan Syariah.
KWSP membayar RM45.82 bilion ringgit sebagai dividen kepada pencarum untuk 2019. Daripada jumlah itu, RM41.68 bilion adalah untuk simpanan konvensional dan RM4.14 billion untuk simpanan syariah. Organisasi itu mempunyai kira-kira 7 juta pencarum aktif.
Sumber itu berkata, KWSP lazimnya membuat pengumuman dividen pada minggu pertama Februari namun ia mungkin lewat sedikit kali ini.
“KWSP perlu mengambil kira impak pengeluaran skim khas seperti i-Lestari dan i-Sinar untuk membantu pencarum yang terkesan akibat Covid-19, sebelum pengumuman dividen dilakukan,” kata sumber itu.
Sumber itu akur Bursa Malaysia terkesan akibat pelbagai sekatan dan kawalan pergerakan susulan Covid-19 tahun lalu, sehingga menjejaskan pulangan pelaburan tempatan KWSP.
Bagaimanapun kata sumber tersebut, pulangan pelaburan di luar negara yang agak baik secara keseluruhan, memberikan KWSP “keyakinan mengumumkan dividen memuaskan sekali lagi”.