KUALA LUMPUR – Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata, perbalahan politik yang berpanjangan hanya menyebabkan keadaan bertambah kusut sehingga menjejaskan tumpuan untuk memerangi Covid-19.

Melalui catatan dalam Facebooknya, Mustapa yang kini dirawat di Hospital Raja Perempuan Zainab II, Kota Bahru sejak lima hari lalu selepas didapati positif Covid-19 berkata, pandemik itu mesti dikurangkan dengan drastik kerana jika ia berterusan ekonomi negara akan lumpuh.

Berikut catatan beliau;

Khamis, hari kelima saya di wad Hospital Raja Perempan Zainab II. Alhamdulillah, kesihatan saya semakin baik. Saya dapat berehat secukupnya dan membaca serta tambah amal ibadat.

Bagi yang dijangkiti Covid-19 dan dimasukkan ke wad, mereka akan merasai betapa caknanya kerajaan melindungi nyawa rakyat malaysia. Inilah pengorbanan besar warga KKM demi menjaga kesihatan rakyat.

Saya dapat melihat sendiri doktor dan jururawat menjalankan tugas dengan penuh komited sehingga ada di antara mereka dijangkiti virus Corona. Mengikut laporan seramai 1,880 petugas KKM positif Covid-19.

Kita amat memahami tekanan dan kepenatan petugas kesihatan untuk menangani krisis ini.

Darurat membolehkan Perdana Menteri dan Kerajaan serta Kementerian Kesihatan lebih fokus menangani COVID-19 dengan berkesan.

Perbalahan politik yang berpanjangan hanya menyebabkan keadaan bertambah kusut sehingga menjejaskan tumpuan untuk memerangi Covid-19.

Covid-19 mesti dikurangkan dengan drastik, jika pandemik ini berterusan ekonomi akan lumpuh.

Demi melindungi nyawa rakyat dan survival ekonomi Malaysia, rantaian jangkitan Covid-19 perlu diputuskan segera. Kita doakan darurat akan bantu Malaysia keluar daripada kemelut ini.

Terima kasih kepada sahabat handai dan seluruh rakyat Malaysia yang terus menerus berdoa supaya saya kembali pulih. Semoga Allah mempermudahkan urusan kita semua.