BARU-BARU ini kedai buku persendirian, Kawah Buku telah mengadakan program temubual Teh Tarik Podcast berjudul Mengenang Abdul Rahim Kajai. Program itu dikendalikan oleh mantan wartawan terkenal Utusan, Ku Seman Ku Hussain, manakala tetamunya ialah mantan Ketua Pengarang Utusan, Tan Sri Johan Jaaffar.

Dalam program tersebut, Johan telah mengemukakan satu cadangan yang sangat menarik. Sekaligus, ia satu cabaran kepada pihak yang dilemparkan cadangannya itu. Namun sebelum dilanjutkan artikel ini, elok dinyatakan dahulu siapakah Abdul Rahim Kajai dan apakah kaitan Mastika dalam saranan yang dikemukakan oleh Johan.

Video : https://youtu.be/4NzVxDAa7ec

Abdul Rahim Kajai (duduk, tengah). Berdiri di belakang beliau ialah A. Samad Ismail.
Johan Jaaffar (kanan) dan Ku Seman Ku Hussain sewaktu membincangkan perjuangan Abdul Rahim Kajai dalam sejarah kewartawanan Melayu, pada diskusi Teh Tarik Podcast Kawah Buku, baru-baru ini.

Secara ringkas, Abdul Rahim Kajai atau nama sebenarnya Abdul Rahim Haji Salim dilahirkan di Setapak, Kuala Lumpur, pada 1894 dan mendapat pendidikan awal sehingga darjah lima di Sekolah Melayu Setapak. Beliau kemudiannya dihantar oleh bapanya melanjutkan pelajaran agama dan Bahasa Arab di Mekah sehingga tahun 1909.

Kerjaya kewartawanannya bermula pada 1925 apabila beliau berkhidmat sebagai wartawan di akhbar mingguan Edaran Zaman di Pulau Pinang dan kemudian di akhbar Saudara pimpinan Syed Sheikh Al-Hadi. Dalam penulisannya ketika itu, beliau menggunakan nama pena “Abdul Rahim Kajai”. Kajai adalah nama kampung halaman ibu bapanya, di Minangkabau, Sumatera, Indonesia. Kenalan-kenalannya juga lebih senang memanggil Abdul Rahim dengan nama Kajai.

Pada tahun 1931, Kajai menjadi Pengarang untuk akhbar Majlis, seterusnya di akhbar Warta Malaya. Pemilik Warta Malaya, Syed Husin al-Sagaf kemudiannya menerbitkan dua buah majalah, iaitu Warta Ahad dan Warta Jenaka. Kajai ditugaskan untuk menulis rencana pengarangnya dan juga cerita-cerita humor untuk kedua-dua majalah itu.

Pada 1939, Kajai berpindah ke Utusan untuk menjadi Pengarangnya yang pertama. Di bawah kendalian beliau juga akhbar Utusan Zaman dan majalah Mastika diterbitkan. Rahim seterusnya menjadi Pengarang Berita Malai pada 1943, tetapi waktu itu kesihatannya sudah merosot. Beliau meninggal dunia pada 5 Disember tahun tersebut.

Kini Mastika yang diasaskan oleh Kajai itu sudah mencecah usia 80 tahun. Dalam sejarah panjang itu, Mastika telah melalui pelbagai cabaran dan banyak kali mengubah konsep penerbitannya. Zaman gemilangnya Mastika ialah apabila ia mencatat sejarah sebagai majalah paling tua dan paling tinggi edarannya di negara ini, sejak penghujung 1990an. Ketika itu jualannya mencecah 300,000 naskhah sebulan.

Bagaimanapun, ekoran masalah pelbagai masalah yang melanda Kumpulan Utusan, penerbitan Mastika telah dihentikan pada penghujung November 2018. Ia satu detik yang malang bagi majalah legenda ini.

Namun itu tidak lama. Mulai 15 Disember 2020, Mastika telah diterbitkan semula. Cuma, majalah itu tidak lagi zahir dalam bentuk cetak. Ia kini diterbitkan oleh Utusan Binders dalam bentuk digital, seiring dengan perubahan gaya hidup, teknologi dan ekonomi semasa. Pejabatnya di Kompleks Campbell, Kuala Lumpur.

Baca lagi : Suatu petang 80 tahun lalu…

KEMBALI KEPADA SEJARAH PENERBITAN MASTIKAN DAN PERANAN KAJAI: Walaupun hanya sebuah majalah bulanan, jasa Mastika kepada negara dan bangsa Melayu cukup besar. Di Mastika itu Kajai melanjutkan lagi pemikiran dan perjuangannya dalam bidang kewartawanan dan kesusasteraan. Perkara inilah yang agak kurang diperkatakan orang, kerana perhatian masyarakat serta pengkaji akademik lebih kepada peranan Kajai di akhbar Utusan Melayu.

Mengimbas semula jasa dan pemikiran Kajai itu, Johan di dalam program tersebut telah mencadangkan agar sebuah Kerusi Rahim Kajai diwujudkan di Institut Pengajian Tinggi tempatan yang mengajar kursus media dan kewartawanan. Tidak kiralah di IPT mana dan apa nama yang sesuai untuk Kerusi berkenaan, Sekolah atau Pusat Kajian, tetapi pokoknya Kerusi tersebut perlu diwujudkan untuk menggali, mengkaji dan mengupas semula semua hasil karya, pemikiran serta perjuangan Kajai sepanjang kerjayanya dalam bidang kewartawanan.

“Kerusi Rahim Kajai itu bukan saja penghormatan kepada beliau, malah juga kepada seluruh warga wartawan dalam sejarah awal kewartawanan Melayu dahulu,” Johan.

Benar, perjuangan Kajai dalam memberi takrif kepada bangsa Melayu pada tahun-tahun 1930-an dan 40an itu mungkin sudah tidak lagi relevan pada zaman ini, tetapi usahanya menggerakkan pemikiran masyarakat Melayu pada ketika itu, perlulah digali semula.

Ya, itulah fungsi utama Kerusi berkenaan : Membongkar kembali perjuangan Kajai  menganjakkan pemikiran masyarakat melalui medan penulisan. Menariknya, beliau memulakan anjakan pemikiran itu melalui cetusan idea yang paling mudah, tetapi sensasi, iaitu takrif Melayu.

Ketika masyarakat Melayu keliru dan bergelut untuk bersaing dengan bangsa-bangsa lain yang datang dari luar, Kajai melalui Mastika mengajak semua pihak mendefinisikan apa itu Melayu. Hanya dengan definisi tersebutlah masyarakat Melayu akan tahu di mana kedudukan mereka, apa hak mereka dan apa yang perlu mereka lakukan.