PKP di 4

KUALA LUMPUR – “Belum bersedia”. Demikian tegas Menteri Kanan Keselamatan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berhubung permintaan pengusaha restoran supaya kerajaan melanjutkan waktu operasi perniagaan mereka kepada 10 malam.

Menurut Ismail Sabri, setakat ini prosedur operasi standard (SOP) yang diumumkan kerajaan untuk negeri-negeri di bawah Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) adalah kekal.

Katanya, walaupun menyedari ada permintaan daripada pemilik restoran, namun semua pihak diminta memberi komitmen penuh untuk menurunkan kes positif COVID-19 bagi membolehkan negeri terlibat diletakkan di bawah PKP Bersyarat (PKPB) yang lebih longgar dari segi SOP.

“PKP ni dua minggu, dulu pernah tiga bulan. Jadi patuhlah apa yang disaran kerajaan. Kes menurun, kita tukar status kepada PKPB, jadi adalah kelonggaran.

“Maka kalau nak kelonggaran kenalah patuh SOP dan arahan kerajaan supaya negeri kita boleh tukar status kepada PKPB,” katanya dalam sidang akhbar hari ini.

Pelanggan Restoran Hakim, Seksyen 7 Shah Alam membungkus makanan yang dipesan susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di enam buah negeri bermula semalam. GAMBAR: Abd Razak Aid

Persatuan Pengusaha Restoran India Muslim Malaysia (Presma) semalam memohon kerajaan melonggarkan SOP di enam negeri PKP antaranya melanjutkan waktu operasi kepada 10 malam.

Ini termasuk membenarkan dua orang pelanggan semeja untuk makan di premis setelah 80 peratus jualan mereka merosot.

Dalam perkembangan berasingan, Ismail Sabri menjelaskan, hospital swasta yang tidak memberikan kerjasama, enggan menerima dan merawat pesakit COVID-19, boleh dipenjara serta didenda sehingga RM5 juta.

Beliau berkata, hospital swasta boleh diarahkan oleh Kementerian Kesihatan (KMM) dalam apa juga cara untuk membantu merawat individu yang dijangkiti COVID-19.

Katanya, Ordinan Darurat yang dilaksanakan sehingga 1 Ogos depan memudahkan tugas kerajaan mengatasi penularan COVID-19 khususnya dalam konteks kesihatan.

“Justeru, ini jelas pihak hospital swasta wajib membantu KKM menerima dan merawat individu yang dikesan dijangkiti COVID-19 tanpa boleh ada penolakan,” katanya.