DAYANG Nurfaizah

KUALA LUMPUR – Impian penyanyi Dayang Nurfaizah untuk mengeluarkan album berkonsepkan Melayu klasik akhirnya tercapai dengan terhasilnya Belagu.

Menurut Dayang atau Dayang Nurfaizah Awang Dotty,39, dia memasang harapan tinggi agar lagu-lagu kemelayuan tidak ditelan zaman sekaligus generasi baru hari ini dapat mengenali dan menjiwai irama klasik.

“Menerusi Belagu, saya mahu memperkenalkan semula lagu Melayu klasik kepada generasi muda dalam bentuk yang lebih ringan dan segar.

“Lagu Melayu klasik sudah punya ritmanya sendiri, bait lirik yang cukup indah dan begitu juga cara penyampaiannya. Kami ada memberi suntikan kelainan pada persembahan dalam lagu-lagu ini tetapi keaslian melodinya masih dikekalkan,” katanya.

Belagu merupakan album studionya yang kesembilan dan diterbitkan oleh syarikat miliknya sendiri, DN & AD Entertainment dengan kerjasama Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia, dan diedarkan oleh Universal Music Malaysia.

Dipetik daripada perkataan dalam dialek Melayu Sarawak, Belagu membawa maksud menyanyi. Album yang hadir dengan lapan buah lagu ini mengetengahkan intrepretasi segar Dayang yang disempurnakan dengan susunan serta gubahan muzik oleh penerbit tersohor, Aubrey Suwito.

DAYANG sewaktu merakamkan lagu-lagu yang terkandung dalam Belagu dengan diringi pemuzik secara langsung

Justeru itu, Tudung Periuk yang berada di trak pertama dalam album ini akan dijadikan sebagai salam perkenalan kepada pendengarnya.

Menurut penyanyi kelahiran Kuching, Sarawak ini, Tudung Periuk dipilih berdasarkan kemahsyuran lagu berkenaan di kalangan orang Melayu dahulu kala.

“Liriknya yang begitu puitis disempurnakan lagi dengan melodi yang mengasyikkan, Tudung Periuk cukup jelas mempamerkan esen muzik tradisional Melayu.

“Kami melancarkan single ini terlebih dahulu sebagai pembuka kepada semua peminat supaya mereka tahu apa yang bakal kami sajikan kepada mereka sepenuhnya apabila album ini dilancarkan sepenuhnya kelak.

“Jika mereka sukakan Tudung Periuk, pastinya mereka akan sukakan suntikan segar pada lagu-lagu di dalam Belagu,” jelasnya.

DAYANG berharap lagu Melayu klasik dapat dihidupkan kembali dan diberi nafas segar sesuai dengan trend terkini

Sementara itu, Dayang turut merakamkan ke semua lagu tersebut dengan iringan muzik secara langsung lantas mencetus idea untuk ‘membawa’ studio rakaman ke ruang yang lebih besar, itulah istimewanya Belagu.

Hanya memakan masa dua hari, album Belagu dapat disempurnakan dengan baik sambil diiringi pemuzik-pemuzik hebat dibawah kendalian Aubrey.

Tudung Periuk bakal dilancarkan bermula esok dan boleh didengari di platform digital antaranya Spotify, iTunes, KKBox, Deezer, Joox dan juga Apple Music. Mankala album Belagu edisi digital akan dilancarkan pada 12 Febuari 2021 depan.

Jom join channel Telegram UtusanTV untuk ikuti berita terkini dan sensasi