KUALA LUMPUR – Sebanyak 3,211 kes baru COVID-19 dilaporkan hari ini – sedikit penurunan berbanding semalam yang merupakan rekod tertinggi pernah dicatatkan.

Ini menjadikan jumlah keseluruhan kes COVID-19 yang pernah dikesan di negara ini berjumlah 151,066.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan COVID-19 yang sedang dirawat di seluruh negara ketika pula adalah 35,253 kes.

Noor Hisham Abdullah

Menurut beliau, daripada jumlah kes baharu berkenaan, terdapat lima kes import dan bagi kes penularan di dalam negara, kira-kira 70 peratus adalah warganegara Malaysia.

“Selangor terus melaporkan kes harian baharu tertinggi iaitu sebanyak 889 kes. Kebanyakan kes adalah daripada kluster-kluster dan saringan kontak rapat COVID-19 yang aktif dijalankan di lapangan.

“Ini diikuti oleh Johor sebanyak 535 kes dan diikuti Sabah dengan 514.

“Turut melaporkan kes yang tinggi hari ini ialah Kuala lumpur (401 kes), Pulau Pinang (194) dan Kedah (142 kes),” katanya dalam kenyataan akhbat hari ini.

Sumber media sosial KKM

Menurut Noor Hisham, sehingga kini, terdapat 204 kes positif COVID-19 yang sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU), di mana 87 kes memerlukan bantuan pernafasan.

Tambah beliau, dukacita dimaklumkan terdapat pertambahan lapan kes kematian COVID-19 pada hari ini, menjadikan jumlah kumulatif kes kematian COVID-19 di Malaysia adalah sebanyak 586 kes (0.39 peratus daripada jumlah keseluruhan kes).

Sementara itu, 12 lagi kluster baharu dikesan.

Kes sembuh yang dilaporkan hari ini pula 1,939.