PUTRAJAYA – Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), Datuk Abdul Aziz Jusoh dilantik sebagai Ketua Pengarah baharu jabatan berkenaan.

Pelantikan yang berkuat kuasa hari ini itu dimaklumkan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri.

Pelantikan Abdul Aziz, 59, bagi menggantikan Allahyarham Datuk Paimuzi Yahya yang meninggal dunia pada 8 Oktober lalu.

Dr Zulkifli berkata, pemilihan Abdul Aziz berdasarkan perkhidmatannya selama 34 tahun di JAKIM, selain berpengalaman luas dalam perkhidmatan awam, khususnya pentadbiran hal ehwal Islam.

“Sepanjang tempoh perkhidmatan, Abdul Aziz mempamerkan integriti tinggi dengan rekod bersih dan cemerlang serta diterima baik rakan strategik utama JAKIM dalam kalangan Jabatan Agama Islam Negeri (JAIN), agensi agama di bawah JPM (Hal Ehwal Agama) serta warga JAKIM.

“Kerajaan yakin beliau mampu menerajui JAKIM sebagai agensi hal ehwal Islam di peringkat Persekutuan berdasarkan kelayakan dan pengalaman luasnya dalam pentadbiran hal ehwal Islam di negara ini.

“Kerajaan berdoa dan berharap dengan pelantikan ketua pengarah baharu ini dapat memacu JAKIM ke arah memperkasa peranannya sebagai agensi hal ehwal Islam di peringkat Persekutuan yang kompetitif serta berdaya saing di peringkat global,” katanya hari ini.

Abdul Aziz yang berasal dari Kelantan, berkelulusan Ijazah Sarjana Muda (Kepujian) Pengajian Islam daripada Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) pada 1985 dan mempunyai Sijil Kaunseling dan Pengurusan Agama daripada Muslim College, London pada 2003.

Kerjaya beliau dalam perkhidmatan awam bermula sebagai Penolong Pengarah Bahagian Penyelidikan Hal Ehwal Islam JPM pada 1986.

Antara jawatan penting pernah disandangnya ialah Ketua Pegawai Eksekutif, Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) pada 2018 hingga 2020 dan Pengarah Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) pada 2017 hingga 2018.

Jawatan lain pernah disandang, Pengarah JAKIM Cawangan Sarawak pada 2013 hingga 2017 dan Atase Agama, Bahagian Agama, Kedutaan Besar Malaysia di Jakarta pada 2009 hingga 2013.

Selain itu, Ketua Penolong Pengarah (Agama), Bahagian Agama dan Kaunseling, Ibu Pejabat Polis Diraja Malaysia, Bukit Aman pada 2008 hingga 2009; Ketua Penolong Pengarah, Bahagian Penyelidikan JAKIM pada 2005 hingga 2009 dan Pegawai Agama, Kedutaan Besar Malaysia di Tokyo, Jepun pada 1997.