Kepada Seluruh Pendukung Majlis Dakwah Negara (MDN) Di Seluruh Negara

1)Berbangkit daripada perisytiharan darurat yang dititahkan oleh DYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong sebentar tadi, (12 Januari 2021), saya sebagai Pengerusi, Majlis Dakwah Negara (MDN) ingin menarik perhatian semua para ahli dan penyokong MDN agar bertenang dan sentiasa berusaha memahami realiti dan latar belakang kepada berlakunya perisytiharan tersebut.

Apa saja tanggapan atau kesimpulan yang dibuat tanpa berasaskan kepada maklumat yang sebenar akan berhadapan dengan risiko salah anggap yang tidak membantu kearah mencari kebenaran.

2) Sebagai rakyat negara ini kita semua terlibat dengan perisytiharan tersebut dan apa juga perisytiharan atau penguatkuasaan undangundang dan peraturan yang bakal berikut nanti. Sama ada kita suka atau tidak suka, kita semua terikat dengan kehendak dan semangat perisytiharan ini dan segala apa yang berkaitan dengannya. Kerana ia sudah pun menjadi realiti yang nyata di hadapan mata.

3) Sebagai pendakwah, perisytiharan ini juga pasti memberikan impak tertentu. Namun begitu adalah diharapkan kita mampu untuk melakukan adaptasi yang bersesuaian.

Profesor Emeritus Datuk Dr Mahmood Zuhdi Abd Majid

Kerana walaupun ia boleh menimbulkan keresahan dalam aspek atau kalangan tertentu namun sebagai para pendakwah ruang untuk kita bergerak seperti sedia kala tetap tidak terganggu. Malah dari segi pencegahan terhadap kemungkinan merebaknya wabak COVID-19 dengan secara yang lebih meluas kita berkewajipan untuk ikut serta secara aktif dalam menjamin semangat perisytiharan itu terlaksana dengan baiknya.

4) Nasihat saya kepada para pendukung dan penyokong MDN semuanya agar menjauhkan diri dari apa saja tindakan yang boleh menambahkan lagi kekeruhan hubungan baik antara berbagai pihak umat Islam di negara ini.

Sebaliknya kita perlu membantu ummah menjernihkan semula suasana agar semangat perpaduan ummah dapat berkembang sewajar nya dan kekuatan ummah seluruhnya dapat ditambah dari masa kemasa supaya masa depan kita semua dan anak cucu kita terjamin buat selama-lamanya.

5) Begitupun saya tetap yakin dan percaya bahawa apa yang saya katakan itu sudah pun termaktub dalam diri masing-masing dan telah juga terbudaya dalam tindak tanduk luaran kita semua.

Saya hanyalah bertindak menjadi pengingat sahaja sesuai dengan perintah Allah yang menyebut bahawa apa saja peringatan yang diberikan akan mendatangkan faedah kepada setiap orang Islam.

Mahmood Zuhdi Haji Abd Majid
Pengerusi Majlis Dakwah Negara (MDN)