KUALA LUMPUR – Pemuda UMNO menentang keras sebarang usaha untuk ‘menanggalkan’ keistimewaan Tabung Haji dengan menyemak atau menghilangkan terus ciri-ciri jaminan menyeluruh kerajaan ke atas pendeposit institusi itu.

Ketuanya, Datuk Dr.Asyraf Wajdi Dusuki berkata, pergerakan itu memandang serius kenyataan Datuk Dr. Zulkifli Mohamad al-Bakri dalam Facebook Menteri di Jabatan Perdana Menteri itu bahawa satu usaha sedang dijalankan oleh pihaknya dan Kementerian Kewangan untuk menyemak semula ketetapan jaminan kerajaan termasuklah kemungkinan pindaan ke atas Akta Tabung Haji 1995 (Akta 535).

‘’Justeru, Pemuda UMNO menggesa YB Senator Menteri Agama tampil memberikan jaminan kepada lebih 9.4 juta pendeposit bahawa Kerajaan Perikatan Nasional hari ini akan terus mempertahankan jaminan kerajaan terhadap setiap wang pendeposit yang menjadi keistimewaan Tabung Haji!,’’ katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata, keistimewaan TH yang mempunyai ciri-ciri jaminan menyeluruh kerajaan memberikan kelebihan kepada TH berbanding bank-bank komersial dan institusi kewangan lain.

‘’Ini kerana rakyat sudah tentu lebih memilih untuk menyimpan dalam TH sehingga dana TH mencecah RM75 bilion. Sedangkan jaminan simpanan di bank-bank komersial hanya setakat RM250,000 oleh Perbadanan Insurans Deposit Malaysia (PIDM).

‘’Usaha untuk meminda Seksyen 24 Akta 535 ini pernah diusahakan oleh Bank Negara di bawah Gobenor Tan Sri Zeti Akhtar Aziz atas alasan meratakan padang persaingan (level playing field) dalam sistem kewangan negara, tetapi tidak dipersetujui oleh Perdana Menteri waktu itu Datuk Seri Najib Razak. Usaha untuk meminda Akta 535 tetap cuba diteruskan di zaman Pakatan Harapan di bawah Gabenor baharu sehinggalah hari ini,’’ katanya.