KUALA LUMPUR – Selepas seminggu membuat kenyataan yang diangga memperlekehkan mereka yang tiada pendidikan tinggi, Datuk Seri Ahmad Maslan tampil memohon maaf dengan menegaskan, tidak pernah terlintas di fikirannya untuk merendahkan orang lain dan sebarang kelakuan seumpama itu jika berlaku adalah tidak disengajakan.

Dalam ciapan melalui akaun Twitternya, Setiausaha Agung UMNO itu menegaskan, ketika berbahas di Dewan Rakyat pun beliau tidak pernah menghina mereka.

Ahmad Maslan yang juga Ahli Parlimen Pontian dikecam oleh pelbagai pihak termasuk dalam media-media sosial apabila menyifatkan golongan berpendidikan tinggi lebih dapat memahami keperluan mengadakan pilihan raya umum (PRU) secepat mungkin.

‘’Saya dilahirkan dalam keluarga miskin, anak penoreh. Bukan sifat saya hina orang,’’ kata beliau dalam ciapan tersebut.

Isu itu tercetus apabila Ahmad yang menjadi program wacana anjuran UMNO Tanjung Malim pada 8 Januari lalu merujuk kenyataan seorang pemarut kelapa ketika temubual oleh sebuah stesen televisyen yang tidak bersetuju Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) diadakan berikutan pandemik Covid-19.

Kata Ahmad dalam wacana tersebut , ‘’Rasanya yang pemarut kelapa tadi tu, dia tidak perasan…yang ditemubual sebagai suara akar umbi (rakyat) itu tidak tahulah, harap sekolah tinggilah. Kalau dari UIA atau PhD, saya rasa tentu dia boleh mengulas dengan lebih tepat.’’