Kuala Lumpur – ‘’Siapa nama dik?’’, ‘’Siapa itu di sebelah?’’, ‘’Masih bernafas? ’’ – Itulah pertanyaan anggota pasukan penyelamat Indonesia kepada seorang kanak-kanak yang menjadi mangsa gempa bumi di Sulawesi.
Kanak-kanak itu yang terperangkap di bawah runtuhan bangunan menjawab soalan dengan suara pilu. Ternyata dia sudah keletihan apatah lagi hanya wajahnya sahaja yang dapat dilihat.
Anggota penyelamat berusaha menenangkan kanak-kanak itu yang menggeleng kepala ketika ditanya masih boleh minum atau tidak.
Berdasarkan rakaman video yang tular, kanak-kanak itu dipercayai terperangkap bersama tiga orang lagi di bawah runtuhan yang sama di Mukim Rimuku, Mamuju.
Mereka merupakan antara penduduk yang menjadi mangsa gempa bumi sekuat 6.2 magnitud yang menggegarkan, awal pagi ini. Setakat ini 34 orang disahkan terkorban dan 637 lagi cedera manakala 15,000 orang dipindahkan ke pusat pemindahan.
Bagaimanapun jumlah mangsa yang terkorban dan cedera dijangka meningkat berikutan berpuluh-puluh lagi penduduk dikatakan terperangkap di bawah runtuhan.
Gempa bumi yang mulai dirasai sejak Khamis lalu turut mengakibatkan banyak bangunan musnah dan rosak termasuk bangunan pejabat Gabenor Sulawesi Selatan serta hotel.