KUALA LUMPUR – Vokalis Drama Band, Aepul Roza mengesahkan dirinya positif Covid-19.
Menerusi satu hantaran di Instagram story, Aepul memaklumkan dia telah menjalani ujian calitan (swab test) kali kedua di sebuah klinik.
“Assalamualaikum dukacita dimaklumkan, ujian calitan (swab test) kali kedua membawa keputusan positif.
“Isteri saya (Leez Rosli) negatif. Saya sudah mula menjalani kuarantin kendiri beberapa hari yang lepas dan menanti prosedur operasi standard (SOP) seterusnya. Doakan kami sekeluarga, terima kasih,” tulisnya.

Sementara itu, pemain dram Drama Band, Faeez Ikhwan juga disahkan positif Covid-19 seperti yang dimaklumkan olehnya di Instagram.
Malah, selain Faeez, isterinya yang juga penyampai radio Kool Fm, Rea serta anak perempuan mereka, Dhia Madeena juga turut positif wabak Covid-19.
“Assalamualaikum, saya Faeez ingin memaklumkan kami bertiga telah disahkan positif Covid-19. Buat masa ini kami berada di rumah untuk isolasi kendiri. Tolong doakan kami sekeluarga,” tulis Faeez.

Dalam pada itu, menjengah ke Instagram Rea, dia memberitahu suaminya merupakan kontak rapat kepada pesakit Covid-19.
“Kepada yang bertanya, Faeez ada kontak rapat dengan kawan yang positif. Sabtu lepas dia bergejala batuk dan demam.
“Ahad dan Isnin, Dhia demam dan Rea mula bergejala. Kami sudah makan ubat dan mengambil vitamin. Kami semua berada dalam keadaan yang baik kecuali Faeez masih batuk-batuk.
“Kami semua kuarantin di rumah dan masih menunggu panggilan daripada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM),” katanya.

Penulis merupakan Pengarang URTV di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama lebih 10 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital.
Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2021, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media cetak dan portal lain sejak tahun 2014.
Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama perkembangan indsutri seni hiburan dalam dan luar negara.

