Dr Adham Baba menyampaikan sumbangan kepada Mohamad Nor Atho'ullah dan adik-beradiknya yang lain di PKRC MAEPS Serdang baru-baru ini. / Gambar FB KKM

SERDANG – Seramai 500,000 petugas barisan hadapan di seluruh negara bakal menjadi penerima pertama dos vaksin COVID-19.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba ketika mengumumkan perkara itu berkata, kumpulan sama dijadual menerima perolehan kedua vaksin daripada jenis sama, apabila bekalan tiba ke Malaysia.

Katanya, kerajaan pada masa ini sudah mengeluarkan makluman kepada mereka yang terlibat.

“Suntikan vaksin kepada golongan petugas barisan hadapan itu akan diberikan mengikut sela 21 hari, selari panduan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO),” katanya seperti dipetik dari BH Online.

Dr Adham memberitahu pemberita demikian selepas melawat Pusat Kuarantin dan Rawatan COVID-19 Berisiko Rendah (PKRC) di Taman Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS), Serdang, hari ini.

Bekalan pertama dari Pfizer dijangka diperoleh bulan depan.

Sementara itu, katanya, PKRC 2.0 akan ditingkatkan dan mampu menampung sehingga 10,000 pesakit dengan pembukaan sebuah dewan baharu bagi tujuan berkenaan.

Selain itu, katanya, hospital bersepadu bagi merawat pesakit lebih kritikal kategori tiga dan empat juga akan dibina di PKRC 2.0.

Beliau menjelaskan, hospital itu akan mula beroperasi pada 24 Januari ini, dengan kapasiti permulaan 30 katil.

Selain itu, katanya, pembinaan hospital bersepadu di dewan B yang kini menempatkan pesakit wanita akan dilengkapi peralatan unit rawatan rapi (ICU), pakar penyakit berjangkit dan pakar bius.

Terdahulu, Dr Adham mewakili pihak Jemaah Menteri menyampaikan sumbangan bantuan kepada Mohamad Nor Atho’ullah dan adik-beradiknya yang lain di PKRC MAEPS.

Baru-baru ini tular video Mohamad Nor Atho’ullah, 11, yang kelihatan ditenangkan pesakit COVID-19 lain yang ditempatkan di PKRC selepas ayahnya, Mohamad Kamil Ghazali, 51 meninggal dunia akibat COVID-19.

“Saya ucapkan takziah kepada semua, moga Allah SWT tempatkan arwah ayah adik Nor Atho’ullah di kalangan orang beriman dan beramal soleh” katanya.

Mohamad Nor Atho’ullah, kakak dan abangnya sudah pun sembuh dan dibenarkan keluar daripada PKRC.

Nur Kamilatul Alifah, 26, kakak kepada Nor Atho’ullah merakamkan ucapan terima kasih atas bantuan dan sumbangan yang disampaikan oleh barisan Jemaah Menteri Kabinet.