KUALA LUMPUR – Ketika beberapa pemimpin Pergerakan Pemuda UMNO terlibat dalam polemik mendesak Presiden parti itu, Datuk Seri Dr.Ahmad Zahid Hamidi ‘berehat’, Datuk Dr.Asyraf Wajdi Dusuki tampil meminta mereka mengenepikan seketika hiruk pikuk politik berkaitan kuasa dan kedudukan demi memberi tumpuan sepenuhnya kepada isu-isu membela rakyat.

Tegas Ketua Pemuda UMNO itu, pandemik Covid-19, proklamasi Darurat dan musibah banjir buruk yang menimpa beberapa buah negeri, hakikatnya memberi kesan besar terhadap kehidupan rakyat.

Katanya, natijah pandemik kepada ekonomi semakin terasa hinggakan pelaburan makin menguncup dan kadar pengangguran kian meningkat, turut menyebabkan rakyat makin susah, resah dan gelisah memikirkan soal kelangsungan hidup mereka.

‘’Berbeza dengan PKP yang bermula pada Mac tahun lepas, tekanan pada PKP 2.0 kali ini, ditambah dengan proklamasi Darurat sudah tentu lebih meruncing. Rakyat terpaksa menghadapinya tanpa moratorium automatik, tanpa bantuan tunai yang besar, tanpa insentif gaji pekerja dan ditambah dengan bencana alam di beberapa negeri. Semua ini akan memberi kesan kepada moral dan keyakinan rakyat dalam menghitung hari-hari mendatang,’’ katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Penegasan itu dilakukan Asyraf Wajdi apabila beberapa Pemuda UMNO berbalah sesama sendiri berhubung kedudukan Ahmad Zahid apabila ada desakan yang meminta beliau berehat dan memberi laluan kepada pemimpin lain menerajui parti bagi menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

Pada sama beberapa pemimpim Parti Bersatu ‘mengambil kesempatan’ dengan meminta pemimpin UMNO yang ada kes mahkamah tidak mengancam untuk keluar Perikatan Nasional (PN).

Dalam kenyataan itu juga, Asyraf Wajdi berkata, di tengah-tengah krisis pandemik dan keperitan rakyat ini, sudah tentu polemik politik, sama ada dalaman parti dan antara parti adalah perkara terakhir yang rakyat mahu terjebak atau terheret.

‘’Pergerakan Pemuda UMNO berpendirian, UMNO harus kembali kepada landasan yang asal dengan menjadikan mantra “Tradisi Membela Rakyat” sebagai teras perjuangannya ketika ini,’’ katanya.

Sehubungan itu beliau menegaskan, kepimpinan UMNO sama ada di dalam mahupun di luar pentadbiran kerajaan mesti berusaha menuntut bagi pihak rakyat perkara-perkara yang menyentuh kebajikan mereka, antaranya:

(i) Mempermudahkan pengeluaran i-Sinar KWSP tanpa syarat/kriteria.
(ii) Bantuan kebajikan rakyat musim PKP 2.0 sebagaimana PKP kali pertama.
(iii) Lanjutan Moratorium tanpa syarat dan tidak dikenakan penalti atau caj tambahan.