KUALA LUMPUR _ Mantan Ketua Pengarang Kumpulan Utusan, Tan Sri Johan Jaaffar adalah tokoh yang paling layak untuk mengetuai Kursi Kewartawanan Rahim Kajai, jika cadangan tersebut menjadi kenyataan.
Ketua Pegawai Ekekutif Institut Pendidikan Berterusan dan Pengajian Profesional (iCEPS), Universiti Teknologi Mara (UiTM), Prof. Dr. Azizul Halim Yahya yang mengusulkan cadangan tersebut berkata, Johan bukan saja berpengalaman luas dalam bidang kewartawanan cetak serta penyiaran, malah seorang sasterawan yang telah banyak menghasilkan karya-karya hebat.
“Pengalaman Johan itu, lebih-lebih lagi semasa di Utusan, amat selari dengan kedudukan Rahim Kajai sebagai wartawan-sasterawan. Jadi, siapakah yang lebih layak dan sesuai untuk mengetuai pentadbiran Kursi berkenaan kalau bukan beliau,” tegas Azizul yang merupakan mantan Dekan Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media, UiTM Shah Alam.


Beliau membuat usulan itu sebagai menyambut cadangan Johan agar sebuah Pusat Kajian Kewartawanan atau Kursi Abdul Rahim Kajai diwujudkan di Intitusi Pendidikan Tinggi (IPT) tempatan untuk mengkaji semua karya tokoh wartawan itu dan hasilnya disebarkan untuk manfaat dunia kewartawanan negara.
Cadangan itu Johan kemukakan dalam program Teh Tarik Podcast kendalian syarikat buku persendirian Kawah Buku, berjudul Mengingati A. Rahim Kajai, baru-baru ini.
Rahim Kajai merupakan Pengarang pertama majalah Mastika (1941) dan Utusan Melayu (1939). Beliau digelar Bapa Kewartawanan Melayu dan Bapa Cerpen Melayu kerana turut menghasilkan banyak cerpen dan karya-karya kreatif yang bertemakan perjuangan serta jati diri bangsa.
Baca lagi :https://utusantv.com/2020/12/31/suatu-petang-80-tahun-lalu/
Video :https://youtu.be/4NzVxDAa7ec
Semalam Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) menyambut baik cadangan Johan itu dengan kesediaan mewujudkan Kursi tersebut di universiti berkenaan. Naib Canselornya, Prof. Datuk Dr. Mohd. Ekhwan Toriman berkata, Kursi tersebut memang sangat sesuai diwujudkan di universiti itu kerana, selain turut menyediakan pengajian kewartawanan dan kesusasteraan, UKM juga telah lama menghargai sumbangan Abdul Rahim dengan menamakan sebuah kolej kediaman pelajarnya dengan nama tokoh tersebut.
Menjelaskan lebih lanjut cadangannya itu, Dr. Azizul berkata, dengan pengalaman luas dalam dunia kewartawanan dan kesusasteraan, beliau yakin Johan dapat menggunakan Kursi tersebut untuk mengangkat kembali dunia kewartawanan negara yang kini sering dipersoalkan kredibiliti, etika, nilai dan hala tuju perjuangannya.

“Kini kewartawanan tradisional sudah terpinggir dan `citizen journalism’ melalui media sosial kian berpengaruh. Masing-masing mengejar populariti, tular, trending, langganan, like, share dan sebagainya tanpa memikirkan lagi ketepatan berita yang disampaikan, juga kesannya kepada masyarakat.
“Kegilaan semua orang boleh menjadi wartawan ini menyebabkan terhakisnya nilai dan etika kewartawanan tradisional bila mana tiada lagi organisasi yang mengawal dan menyelia berita-berita tersebut.
“Di sinilah perlunya peranan tokoh yang mengetuai Kursi tadi untuk membawa semula semangat Rahim Kajai ke tengah masyarakat dan mempromosikan tujuan-tujuan asas penubuhannya tadi,” ujar Azizul.
Mewujudkan sesuatu Kursi tentulah memerlukan kos yang banyak. Dalam hal ini Azizul mengharapkan agar pihak kerajaan, swasta dan orang perseorangan dapat memberikan sokongan dana.
“Ia boleh dilakukan dengan dua acara. Pertama, sumbangan dana berterusan pada jumlah tertentu (endowment). Kedua, melalui konsep wakaf. Kalau keseluruhan kos ditanggung oleh IPT tentu agak sukar kerana dana yang diperlukan bukannya sedikit. Oleh kerana itu kita memerlukan seorang tokoh yang berkelayakan dan berpengaruh untuk mengemudi Kursi berkenaan,” kata Azizul.
Mengenai hala tuju Kursi itu kelak, beliau menggariskan beberapa perkara asas. Pertama, membawa kembali nilai-nilai kewartawanan yang sebenar bagi menangani isu etika dan kualiti kewartawanan digital.
Kedua, menjadi tempat kajian ilmu kewartawanan dahulu, semasa dan akan datang. Ketiga, mempersiapsiagakan wartawan bagi meghadapi landskap kewartawanan dan perubahan gaya masyarakat yang begitu cepat berubah.
“Saya yakin Kursi ini akan membantu meneruskan survival kewartawanan sejati dan seterusnya mengangkat maruah kewartawanan supaya menjadi rujukan utama masyarakat, bukan lagi media sosial yang tidak mematuhi disiplin, etika dan nilai kewartawanan serta tidak dikawal oleh sebarang organiasi,” tegas Azizul.
