KUALA LUMPUR – Pejabat Perdana Menteri (PMO) menjelaskan, peruntukan pembangunan sebanyak RM35.43 juta ialah untuk pembinaan tiga buah dewan orang ramai dan bukannya sebuah dewan seperti mana digembar-gemburkan oleh sesetengah pihak.

Dalam satu kenyataan pejabat itu berkata, tiga dewan itu ialah Dewan Gersik, Tangkak bernilai RM13 juta, Dewan Masyarakat Bukit Pasir, Muar (RM16.66 juta) dan Pusat Komuniti Kepong, Muar (RM5.77 juta_.

‘’Pembinaa ketiga-tiga dewan ini adalah untuk memenuhi keperluan masyarakat setempat. Perolehan bagi ketiga-tiga projek pembinaan ini bukan secara rundingan terus tetapi mengikut tatacara perolehan secara tender yang diluluskan oleh Kementerian Kewangan.

‘’Dakwaan seperti yang ditularkan adalah berniat jahat dan Pejabat Perdan Menteri merasa kesal dengan perbuatan tidak bertanggungjawab ini,’’ kata kenyataan itu.

Isu itu mula menjadi perhatian apabila Ahli Parlimen Johor Bahru, Akmal Nasrullah Mohd.Nasir meminta penjelasan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berhubung peruntukan RM35.43 juta yang didakwa akan dibelanjakan bagi membina sebuah dewan di kawasan Parlimen Pagoh.

Akmal Nasrullah membangkitkan perkara itu dalam satu kenyataan berikutan tular dalam media sosial sepucuk surat yang didakwa daripada Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU) Jabatan Perdana Menteri kepada Jabatan Kerja Raya (JKR).