Majoriti rakyat tiada masalah dengan pengisytiharan darurat kerana mereka lega ia akan menghentikan politiking yang menggila sejak Mac tahun lalu.

Rakyat juga tidak kisah apabila kerajaan melaksanakan sekali lagi Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) buat kali kedua atau PKP 2.0) kerana faham ia bagi mengawal penularan Covid-19.

Tetapi persoalan yang bermain dalam fikiran rakyat, apakah pelaksanaan perintah itu kali ini akan ‘menjemput’ kesengsaraan kepada mereka? Dan apakah persediaan atau perancangan kerajaan untuk mengurangkan beban hidup rakyat yang pasti terkesan.

Dalam tempoh beberapa hari ini, suara-suara mula lantang kedengaran yang mahu kerajaan melakukan sesuatu untuk memastikan PKP kali ini tidak menghumban rakyat ke lembah penderitaan.

Peniaga-peniaga kecil mula mengeluh, penjaja pasar malam mula gelisah dan tidak mustahil selepas ini kita akan mendengar rintihan mereka yang kehilangan pekerjaan kerana tempat kerja mereka terpaksa mengurangkan kos berikutan PKP.

Semalam penulis menonton satu rakaman video yang memaparkan seorang lelaki meluahkan kemarahan dan kekecewaan berikutan pelaksanaan PKP dan darurat.

Walaupun ada juga dia mengkritik langkah kerajaan tetapi mesej keseluruhannya ialah betapa rakyat kini semakin susah berikutan pelaksanaan PKP. Mungkin ada pandangan lelaki itu tidak tepat atau mungkin tidak benar.

Tetapi penulis percaya sentimen atau perasaan yang sama turut dikongsi oleh rakyat yang terjejas atau mungkin akan terjejas.

Justeru kerajaan di bawah kepimpinan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin perlu memahami bahawa bagi rakyat, PKP bukan sekadar ‘peperangan’ melawan Covid-19, PKP juga bukan sekadar memaklumkan perkembangan penularan pandemik tersebut setiap hari tetapi jauh daripada itu ia juga berkaitan ‘periuk nasi’ rakyat.

Penulis tidak mahu bercakap soal kesan PKP kepada ekonomi negara kerana ia isu yang terlalu tinggi, apa yang mahu ditekankan ialah kerajaan perlu melakukan sesuatu bagi memastikan kehidupan rakyat tidak terjejas.

Kita faham kerajaan bertanggungjawab melindungi nyawa rakyat maka tindakan seperti PKP itu terpaksa dilaksanakan dan darurat terpaksa diisytiharkan bagi membolehkan tumpuan diberikan kepada usaha memerangi Covid-19.

Tetapi kerajaan juga bertanggungjawab untuk membela nasib rakyat, melaksanakan apa sahaja tindakan yang boleh meringankan beban rakyat.

Contohnya, sama ada suka atau tidak, langkah membenarkan pencarum Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KSWP) mengeluarkan caruman mereka secara ‘one off’ tanpa syarat dan pelaksanaan moratorium pinjaman secara automatik perlu dilakukan oleh kerajaan.

Selain itu kerajaan juga perlu meneruskan pemberian bantuan dan insentif kepada golongan yang terjejas seperti mana disarankan oleh bekas Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Salleh Said Keruak yang menegaskan, ramai terjejas berikutan hilang sumber pendapatan disebabkan tidak dapat berniaga atau hilang pekerjaan.

Perlu diingat rakyat dalam golongan berpendapatan rendah, tidak faham soal pasaran saham melambung atau ringgit meningkat apabila darurat dan PKP diumumkan, malah mereka pun tidak ambil peduli soal unjuran ekonomi dan kedudukan kewangan negara, apa yang mereka tahu apabila kerajaan melaksanakan PKP maka kerajaan juga bertanggungjawab untuk membela nasib mereka yang terjejas.

Berbanding PKP 1.0, kerajaan kini jauh lebih tenang untuk memberi tumpuan kepada usaha memerangi Covid-19 dan mencari jalan bagi membantu rakyat. Ia memandangkan mereka tidak lagi diganggu gugat oleh mainan politik yang membosankan. Pengisytiharan darurat yang membolehkan sidang Parlimen digantung akan banyak membantu kerajaan bagi tujuan itu.

Percayalah rakyat sedang memerhati dan menanti. Sebelum ini kerajaan mungkin tidak boleh memberi banyak tumpuan memandangkan sering diganggu oleh usaha-usaha untuk menjatuhkan kerajaan dan menyingkirkan Perdana Menteri, tetapi sekarang pengisytiharan darurat sudah buat, apa lagi alasan yang mahu diberikan jika kerajaan gagal melaksanakan program atau pakej rangsangan ekonomi yang boleh mengurangkan beban rakyat?

Pengisytiharan dan PKP ini adalah ujian sebenar kepada Kerajaan Perikatan Nasional (PN) untuk dinilai oleh rakyat. Inilah peluang terbaik untuk kerajaan membuktikan bahawa mereka layak menerajui negara dan bukannya sekadar bernasib baik berada di kedudukan itu berikutan pergolakan politik pada Mac lalu.

Oleh itu buktikan kepada rakyat kemampuan mereka, jika masih lagi berhasrat merasai betapa nikmat dan gahnya berada di puncak kekuasaan di Putrajaya selepas Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) – ia tidak sukar, syaratnya pastikan rakyat tidak sengsara dan melarat berikutan pelaksanaan PKP – itu saja.