KUALA TERENGGANU – Bekas Ketua Hakim Negara, Tun Dr Mohamed Salleh Abas meninggal dunia, pada usia 92 tahun, awal pagi tadi.

Tokoh perundangan negara itu meninggal dunia pada jam 3.20 pagi tadi selepas dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) Kuala Terengganu, kelmarin.

Perkara itu dimaklumkan oleh anak-anak Allahyarham dalam satu kenyataan pagi ini.

Memetik laporan BH Online, Mohamed Salleh yang juga Pengerusi as-Salihin Trustee Berhad menerima rawatan di hospital berkenaan selepas disahkan positif COVID-19.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif as-Salihin Trustee Berhad, Abdul Aziz Peru Mohamed sebelum ini dalam satu kenyataan, kelmarin mengesahkan Mohamed Salleh dijangkiti COVID-19 dan dirawat di ICU HSNZ.

“Bagaimanapun, pihak hospital mengambil langkah berjaga-jaga atas faktor umur Tun (Mohamed Salleh),” katanya.

Sementara itu, Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong, Tunku Hajah Azizah Maimunah Iskandariah menzahirkan ucapan takziah kepada seluruh keluarga Mohamed Salleh.

Istana Negara dalam satu kenyataan memaklumkan, Seri Paduka Baginda berdua turut menzahirkan rasa sedih dengan pemergian Allahyarham dan menzahirkan harapan agar seluruh keluarga Allahyarham sabar dan tabah menghadapi suasana sedih dan pilu ini.

“Seri Paduka Baginda berdua amat menghargai khidmat bakti dan jasa Allahyarham kepada masyarakat dan negara serta menyifatkan pemergian Allahyarham sebagai satu kehilangan besar kepada negara.

“Seri Paduka Baginda berdua mendoakan agar roh Allahyarham dicucuri rahmat oleh Allah SWT dan ditempatkan bersama para solihin,” kata kenyataan itu.

Pernah dipecat dari jawatannya, namun Tun Salleh Abas kekal dihormati kerana ketegasan mempertahankan prinsip kebebasan badan kehakiman.

Allahyarham yang dilahirkan di Kampung Raja, Besut menjadi Ketua Hakim Negara pada 1984 hingga 1988 dan pernah memenangi kerusi Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jertih atas tiket Pas pada 1999.

Allahyarham melanjutkan pendidikannya di Universiti Wales, United Kingdom (UK) pada 1949 dan memperoleh ijazahnya dalam bidang undang-undang.

Pada 1957, beliau kembali ke Malaysia dan menjadi majistret di Kota Bharu, Kelantan dan tidak lama selepas kemerdekaan pada tahun yang sama, Salleh dipindahkan ke ibu negara Kuala Lumpur di mana beliau berkhidmat sebagai Penolong Pendakwa Raya.

Beliau kemudian pergi ke UK semula untuk memperoleh ijazah sarjananya dalam undang-undang antarabangsa dan perlembagaan di Universiti London.

Allahyarham kembali semula ke tanah air pada 1962, dan dilantik sebagai Penasihat Undang-undang dan Penolong Pendakwa Raya untuk kedua-dua Negeri Sembilan dan Melaka.

Setahun kemudian, beliau pulang ke Kuala Lumpur dan menyandang berbagai-bagai jawatan di bawah Peguam Negara, dan akhirnya dilantik sebagai Peguam Cara Negara.

Tun Salleh sangat dihormati dalam komuniti perundangan kerana ketegasannya mempertahankan prinsip kebebasan badan kehakiman.

Sementara itu, Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar turut merakamkan ucapan takziah kepada keluarga Allahyarham.

“Menerima khabar duka tentang pemergian Allahyarham Tun Dr Mohamed Salleh Abas, Bekas Ketua Hakim Negara pagi ini.

“Takziah diucapkan buat keluarga Allahyarham dan didoakan agar tabah dan sabar dengan pemergian ayahanda tersayang. Semoga roh Allahyarham dicucuri rahmat dan ditempatkan dalam kalangan para solihin,” kata Ahmad Samsuri dalam Facebook beliau.