ANALISIS

Pelik sungguh perangai puak-puak UMNO ni, selepas bagaikan nak ‘rak’ menggoncang politik dalam Kerajaan Perikatan Nasional sampai bahagian-bahagian buat usul menolak kerjasama dengan Bersatu dalam PRU-15, sekarang mereka berantakan sesama sendiri pula.

Desakan supaya Presiden parti itu, Datuk Seri Dr.Ahmad Zahid Hamidi berehat berkumandang, sahut menyahut antara pemimpin Pemuda UMNO pun berlaku. Satu puak mendesak, satu puak pertahan, lepas gaduh sesama sendiri, bijak sungguh!

Memanglah kalau ikutkan bekas Timbalan Perdana Menteri itu ada masalah, ada kes mahkamah, ada dakwaan menulis surat sokong Datuk Seri Anwar Ibrahim yang beliau tidak pernah nafikan sampai sekarang, ada kata beliau bekerjasama dengan DAP, ada yang kata beliau tidak sesuai pimpin UMNO hadapi PRU-15 dan macam-macam lagi.

Walaupun pandangan itu ada yang betul dan ada yang tidak, tetapi sekarang negara dalam keadaan darurat, negara tengah dok bertungkus lumus lawan Covid-19, rakyat dok gelisah takut hilang pendapatan dan punca rezeki tetapi geng-geng UMNO dok sibuk terus berpolitik.

Cukuplah! Berehatlah sekejap…tak kanlah nak berpolitik tak habis-habis. Kalau rasa Ahmad Zahid tak sesuai selesailah masa pemilihan atau perhimpunan parti, bukan waktu tengah gawat macam ni.

Dah la sebelum ini beberapa kerat pemimpin UMNO dok ‘serang’ Kerajaan PN tak habis-habis. Sehingga hari inipun ada pemimpin parti tu dok buat kerja tu, satu demi satu isu dibangkitkan.

Apa sahaja kerajaan buat semua tak betul, dia saja yang betul, dia saja lebih hebat bela nasib, dia lebih aktif persoal kerajaan berbanding pembangkang. Apa lagi pembangkang dok relaks sahajalah makan ‘Super Ring’ tengok pemimpin UMNO ‘buat kerja’ untuk mereka. Tetapi rakyat macam mana? Jangan ingat mereka suka kelompok UMNO ni berpolitik siang malam.

Rakyat bosanlah, rakyat dah nak ‘termuntah’ tengok perangai orang politik sebab tu majoriti sokong darurat. Kalau tak darurat masing-masing nak berebut kuasa. Jadi lebih baik, UMNO ‘berehat sekejap’ daripada main politik.

Tumpu perhatian kepada usaha bela rakyat, perjuang nasib rakyat, bangkit isu rakyat, bukan dok desak mana-mana pemimpin ‘berehat’. Contohi sikap Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr.Asyraf Wajdi Dusuki yang banyak timbulkan isu berkaitan kepentingan rakyat, tu baru betul.

Ni tak habis-habis nak main politik jatuh menjatuh antara satu sama lain. Tak kisahlah desakan tu dibuat demi parti ke atau tidak, tu soal lain, yang penting jangan berpolitik tengah-tengah negara kelam kabut ni.

Masalah dalaman selesai secara dalaman, jangan dok heboh satu kampung, mana ada parti politik yang berperangai macam UMNO ni. Puak lain kalau tak puas hati pun buat senyap-senyap bukan ‘seronok keluar muka kat media’.

Fahamlah sikit, ramai yang dok tunggu nak ambil kesempatan. Cuba tengok tiba-tiba sahaja ada pemimpin Bersatu nak menyibuk, nak jaga tepi kain orang, nak menangguk di air keruh bila buat kenyataan minta pemimpin UMNO yang ada kes mahkamah jangan ugut nak keluar PN, berjiwa besar mesti berani hadapi risiko masuk penjara macam Anwar. Apa hal pulak?

Parti Bersatu sendiripun macam ‘pokok condong’ tunggu masa nak tumbang, kalau ‘akar’ tak diperkuatkan, tu pun ada hati nak nasihat UMNO, nak kecam UMNO. Jadi lebih baik dok diam-diam, perbetul dulu parti sendiri.

Jadi kesimpulannya, sama ada UMNO mahupun Bersatu tak payah nak terus berpolitik. Tak ada faedahpun kepada rakyat yang tengah susah. Daripada dok buang tenaga berpolitik sesama sendiri atau menyibuk hal parti lain, lebih baik cari jalan macam mana nak bantu rakyat… tu lagi bagus.