1) Apakah Perlembagaan Persekutuan tidak menyatakan peruntukan darurat?

Ada. Rujuk Perkara 150 Perlembagaan Persekutuan (Perlembagaan).

2) Jadi, apa yang tak berperlembagaan?

Entah. Lain tafsiran mungkin. Tapi dalam Perlembagaan memang ada peruntukan darurat. Itu pasti.

Proklamasi darurat 2021 dibuat kerana wabak penyakit COVID-19. Wabak adalah salah satu syarat yang membolehkan darurat di sisi Perlembagaan Persekutuan.

Kenapa darurat, kerana kerajaan memerlukan tindakan luar biasa untuk tangani situasi kritikal.

Antaranya bagi memperkenalkan undang-undang dengan cepat menerusi ordinan.

Kalau tidak, rang undang-undang perlu melalui bacaan pertama satu dua dan ketiga di Dewan Rakyat kemudian di Dewan Negara pula. Kemudian proses pewartaaan.

Dengan darurat, semua ini boleh dibuat eksekutif (baca kerajaan), tak perlu lalu Parlimen dan mahkamah tak boleh cabar. Ini juga kuasa yang diberi Perlembagaan Persekutuan.

Justeru, menuduh proklamasi darurat tidak berperlembagaan, itu tidak tepat.

Salah tafisran. Apabila Perlembagaan memperuntukkan mengenai darurat maka jika syarat-syaratnya dipenuhi, ia adalah berperlembagaan.

Perlembagaan adalah undang-undang tertinggi, tiada apa yang boleh mengatasi Perlembagaan waima kedudukan raja-raja sekalipun.

Pelajar Tahun 1 Fakulti Undang-Undang akan tahu apa maknanya doktrin ketertinggian Perlembagaan. Buka buku Perlembagaan, rujuk Perkara 4 (1).

Misalnya, Perlembagaan menjamin segala jenis hak seperti kebebasan bersuara dan berhimpun menerusi Perkara 10 tetapi fasal sama membenarkan legislatif gubal undang-undang bagi mengawalnya.

Darurat membenarkan kerajaan menggubal undang-undang yang dikenali Ordinan tanpa perlu melalui Dewan Rakyat dan Dewan Negara. GAMBAR: Abd Razak Aid

Maka, kalau nak kritik pengisytiharan darurat terbaru tak perlulah mengatakan ia tidak berperlembagaan. Lain maksudnya.

Kalau faham undang-undang, mereka tak kata darurat tak berperlembagaan tetapi mereka akan kritik sama ada perlu atau tidak untuk kerajaan menggunakan peruntukan darurat yang dibenarkan dalam Perlembagaan.

Misalnya hujahlah COVID-19 boleh ditangani dengan undang-undang sedia ada bahkan kalau berlaku kekosongan kerusi atau cukup tempoh penggal DUN/ Parlimen, pilihan raya boleh saja diadakan biar pun kes baru mencanak naik.

Petugas SPR lengkap memakai PPE ketika menguruskan salah satu PRK tahun lalu./ Gambar Facebook SPR

Hujah jugalah yang darurat mencacatkan doktrin pengasingan kuasa seperti dianjurkan Montesqiu. Kerajaan demokrasi perlu berasas tiga cabang yang berasingan, itu betul.

Legislatif (Parlimen), kehakiman dan eksekutif (Kabinet). Ketiga-tiganya perlu memainkan peranan semak dan imbang.

Dalam tempoh hingga 1 Ogos inilah pengasingan kuasa tidak berjalan sempurna.

Namun kerajaan mempunyai hujahnya iaitu COVID-19 satu wabak yang memerlukan tindakan segera. Kena keluar dari kebiasaan sebab waktu ini kritikal.

Bagi yang tidak menyokongnya, teruskan berhujah kerana undang-undang darurat memang ada ruang untuk disalah guna. Tapi mengkritik biar kukuh.

Cuma nak kata ia tak berperlembagaan, sekali lagi kena rujuk Perkara 150 Perlembagaan.

Asasnya memang semua mahukan demokrasi tetapi Perlembagaan juga memberi kuasa untuk isytihar darurat. Teruskan berhujah, darurat tak halang kebebasan memberi pendapat.