KERANGKA jaringan keselamatan ekuiti bumiputera hanya melibatkan agensi atau syarikat berkaitan kerajaan seperti Tabung Haji. - Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Sebelum ini isu peneraju Movenpick Hotel & Convention Centre KLIA, sebuah hotel mesra Muslim milik Lembaga Tabung Haji (TH) menjadi perhatian ramai pencarum institusi itu.

Ini berikutan terdapat cadangan untuk memilih seorang pengurus besar bukan Islam yang sekali gus menimbulkan keresahan ramai.

Apatah lagi, tular di media sosial mengenai memo cadangan pelantikan oleh pihak pengurusan sebelum ini.

Namun, seperti mana penafian Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Ahmad Marzuk Shaary beberapa bulan lalu, TH hari ini mengumumkan pelantikan individu berkaliber beragama Islam sebagai pengurus besar hotel milik penuh institusi pelaburan umat Islam itu.

Menurut TH hari ini, Wan Enderi Mohd Saad dilantik sebagai pengurus besar baharu Movenpick Hotel & Convention Centre KLIA, berkuat kuasa pada 4 Januari lepas.

Menurut kenyataan itu, TH berkata, Wan Enderi mempunyai lebih 20 tahun pengalaman dan pernah berkhidmat dengan industri perhotelan serta hospitaliti terkemuka di dalam dan luar negara.

Beliau juga berkelulusan Sarjana Pentadbiran Perniagaan (MBA) Eksekutif dalam Keusahawanan Hospitaliti, Pentadbiran dan Pengurusan Pelancongan.

Berpengalaman luas dalam industri perhotelan, pelantikan Wan Enderi Mohd Saad menepati suara ramai pendeposit TH

Wan Enderi menyertai Kumpulan Accor pada 2011 sebagai Pengarah Operasi Bilik di Pullman Putrajaya Lakeside sebelum dilantik sebagai Penolong Pengurus Eksekutif di Ibis Styles KL Fraser Park pada 2013.

Beliau kemudiannya dilantik sebagai Pengurus Besar buat kali pertama di Avangio Hotel Kota Kinabalu, yang juga di bawah naungan Kumpulan Accor.

Wan Enderi meninggalkan Kumpulan Accor dan menyertai E&O Residences, Kuala Lumpur sebagai Pengurus Hotel sebelum berpindah ke Thailand sebagai Pengurus Besar Impiana Resort di Koh Samui.

Selepas itu, beliau menyertai kembali Kumpulan Accor untuk pelantikan baharu sebagai Pengurus Besar Movenpick Hotel & Convention Centre KLIA.

Dalam kenyataan sama, Wan Enderi berkata beliau akan berusaha untuk meningkatkan kualiti perkhidmatan dan memberi nilai terhadap jenama terbabit di masa akan datang.

“Saya juga akan berusaha untuk memberikan pengalaman serta perkhidmatan yang terbaik kepada semua tetamu kami dan meletakkan Mövenpick Hotel KLIA dalam kelas yang tersendiri,” katanya.

Movenpick Hotel & Convention Centre KLIA terletak di landskap seluas 7.2 hektar yang menampilkan kehijauan, kolam reflektif dan sungai, hanya beberapa minit dari Lapangan Terbang Antarabangsa KL (KLIA).

Dimiliki oleh TH, hotel mesra Muslim itu mempunyai 333 bilik dan suite serta ruang eksekutif dan enam kedai makan.

Kemudahan rekreasi yang berasingan ditawarkan untuk tetamu wanita, termasuk kolam renang, gimnasium dan kemudahan spa.

Hotel itu juga menawarkan 17 ruang mesyuarat yang moden, dewan utama yang mampu memuatkan seramai 2,500 orang; kolam renang kanak-kanak, taman permainan dan gelanggang tenis.

Ia turut menyediakan pusat konvensyen yang sesuai untuk acara, pameran dan konvensyen antarabangsa berskala besar.