Bangunan KWSP yang terletak di Jalan Raja Laut, Kuala Lumpur. GAMBAR: ABD RAZAK AID

KUALA LUMPUR – Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, proses pembayaran pendahuluan i-Sinar Kategori 2 dipermudahkan kerana ahli hanya perlu mengisytiharkan secara kendiri bahawa mereka memenuhi kriteria yang ditetapkan dan menghantar dokumen sokongan secara dalam talian.

Menurut Perdana Menteri, kerajaan juga telah meminta Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) memudahkan proses pembayaran pendahuluan ini, yang akan dibuat mulai 26 Januari.

“Maklumat lanjut akan diumumkan oleh KWSP dalam masa terdekat,” katanya ketika menyampaikan ucapan Pakej Bantuan Khas yang disiarkan secara langsung sebentar tadi.

Tambah Muhyiddin, untuk makluman semua, kemudahan i-Sinar telah dibuka kepada semua ahli KWSP yang terjejas pendapatan akibat COVID-19 bermula 21 Disember yang lepas.

Katanya, setakat 13 Januari, lebih tiga juta permohonan telah diluluskan dengan jumlah 24 bilion ringgit akan disalurkan pada tahun ini.

“Bagi menambah baik kemudahan i-Sinar, terutamanya bagi mereka yang menghadapi pelbagai cabaran akibat PKP serta bencana banjir, Kerajaan telah dimaklumkan bahawa KWSP akan membuat pembayaran pendahuluan sehingga 1,000 ringgit bagi permohonan kemudahan i-Sinar Kategori 2,” ujarnya.

Sementara itu, kata Muhyiddin, semasa tempoh pelaksanaan PKP ini, beliau ingin menekankan bahawa bantuan moratorium dan pengurangan bayaran balik pinjaman akan terus disediakan.

Moratorium, katanya, termasuk lanjutan moratorium, dan pengurangan ansuran pinjaman akan ditawarkan oleh bank-bank, seperti yang diumumkan sebelum ini.

Ujar Perdana Menteri, bagi negeri-negeri yang dilanda banjir, 15 buah bank juga telah pun menawarkan moratorium bayaran balik pinjaman.

“Setakat ini, lebih 1.3 juta peminjam telah memohon dan menerima bantuan pembayaran, dengan kadar kelulusan sebanyak 95 peratus bagi peminjam individu dan 99 peratus bagi peminjam PKS.

“Ini membuktikan bahawa rakyat tidak perlu bimbang untuk menghubungi bank jika mereka memerlukan fleksibiliti pembayaran.

“Bagi peminjam yang menghadapi kesukaran berurusan dengan bank mereka, Bank Negara Malaysia serta Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit, atau AKPK, bersedia untuk membantu dan memberi khidmat nasihat kepada anda melalui telefon atau secara dalam talian,” ujarnya.