
KUALA LUMPUR – Program Subsidi Upah 3.0 di bawah Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) akan ditambah baik, di mana semua majikan yang beroperasi dalam Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) layak untuk memohon, tanpa mengambil kira sektor.
Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, untuk tempoh satu bulan, majikan yang layak akan menerima subsidi upah berjumlah RM600 bagi setiap pekerja mereka yang bergaji kurang dari RM4,000.
Selain itu, katanya, had 200 pekerja bagi setiap permohonan akan ditingkatkan kepada 500 pekerja.
“Inisiatif ini melibatkan peruntukan tambahan sebanyak RM1 bilion yang dianggar akan memanfaatkan 250,000 majikan yang menggaji lebih daripada 2.6 juta pekerja,” katanya dalam pengumuman Pakej Bantuan Khas hari ini.
Menurut Muhyiddin, kerajaan mendapat maklum balas antara inisiatif yang telah disambut baik oleh pekerja dan majikan adalah Program Subsidi Upah.
Sementara itu, kata Perdana Menteri, bagi mereka yang kehilangan pekerjaan dalam tempoh pelaksanaan PKP, Kerajaan bersetuju untuk melonggarkan syarat permohonan bagi program Sistem Insurans Pekerjaan (SIP)
PRIHATIN.
“Pekerja yang tidak memenuhi caruman minimum, ataupun tidak dilanjutkan kontrak perkhidmatan setelah pembaharuan dibuat sekurang-kurangnya tiga kali, sekarang dibenarkan untuk memohon bantuan kewangan SIP PRIHATIN sebanyak 30 peratus daripada gaji mereka selama tiga bulan,” jelasnya.
Dalam perkembangan berasingan, Muhyiddin mengumumkan erajaan juga bersetuju untuk memberikan diskaun khas bil elektrik sebanyak 10 peratus bagi tempoh Januari hingga Mac 2021 kepada enam sektor perniagaan di seluruh negara.
Kata Perdana Menteri, ini meliputi pengendali hotel, taman tema, pusat konvensyen, pusat beli-belah, pejabat syarikat penerbangan tempatan serta agensi pengembaraan dan pelancongan.
“Di samping itu, rebat elektrik diberikan kepada semua pengguna TNB, domestik dan bukan domestik, pada kadar 2 sen setiap kilowatt per jam, iaitu bersamaan penurunan bil elektrik sehingga 9 peratus bagi tempoh 6 bulan mulai 1 Januari hingga 30 Jun 2021,” ujarnya.