Shuib ucap selamat tinggal, tidak lagi bergelar penyampai radio Hot FM

0
1308

KUALA LUMPUR – Pelawak dan penyampai radio Hot FM, Shuib akhirnya membuat keputusan untuk meninggalkan stesen berkenaan selepas dua tahun mengendalikan segmen Geng Pagi Hot (GPH).

Mengumumkan berita tersebut ketika siaran GPH hari ini, Shuib berkata keputusan itu dibuat setelah sekian lama difikirkan demi memberi fokus dalam bidang lain.

“Ini masa sesuai, nak kata tak sesuai sangat pun tak pastilah tapi saya nak umumkan secara rasmi hari ini 18 Januari saya tidak lagi bersama GPH.

“Beberapa hari lagi genaplah dua tahun saya di sini dan kontrak saya bersama Hot FM akan tamat pada 31 Januari ini,” katanya ketika bersiaran di konti radio.

Sementara itu, menerusi Instagram Hot FM, Shuib atau nama sebenarnya Shahmira Muhammad, 37, tidak berhasrat untuk menyambung kontraknya di stesen berkenaan kerana mahu menumpukan perhatian dalam perniagaan.

“Setelah dua tahun bersama GPH, Shuib memutuskan untuk menumpukan perhatian dalam perniagaan.

“Kami mendoakan yang terbaik untuk Shuib. Dengarkan minggu terakhir Shuib bersama GPH minggu ini,” tulisnya.

Shuib memulakan karier sebagai penyampai radio di Hot FM pada Februari 2019 dan diberi tanggungjawab untuk mengendalikan segmen GPH bersama Shuk dan Fizie bermula pukul 6 pagi hingga 10 pagi, setiap Isnin sehingga Jumaat.

TONTON VIDEO PILIHAN: