Isu Macau Scam: Shuib sudah ‘bersih’, dalam proses minta pihak SPRM keluarkan kenyataan

0
1097

PELAWAK Shuib Sepahtu mendedahkan perniagaan minuman BubbleBee terjejas teruk kesan selepas dirinya terkait isu Macau Scam selain turut dipanggil oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi membantu siasatan.

Menurut Shuib atau nama lengkapnya Shahmira Muhammad,36, dia tidak menafikan jika penjualan air minuman yang diusahakan olehnya itu mengalami penurunan yang agak drastik selepas isu terbabit menjadi kontroversi ‘panas’ dan tular di media sosial.

“Saya akui dan jujurnya memang perniagaan BubbleBee terkesan sehinggakan ada pihak yang datang ke kedai cawangan kami memaki hamun suruh tutup perniagaan kerana Macau Scam.

“Tapi, alhamdulillah kini jualan sudah kembali meningkat semula kerana ada juga yang tertunggu-tunggu produk BubbleBee, lebih-lebih lagi sewaktu cawangan (outlet) baharu dibuka,” katanya kepada URTV.

Sementara itu, Shuib turut meluahkan rasa lega apabila namanya kini ‘bersih’ daripada terus dikaitkan dengan Macau Scam dan SPRM.

Katanya lagi, dia kini sedang dalam proses untuk meminta pihak SPRM mengeluarkan surat kenyataan berkenaan dirinya yang tidak ada kaitan dengan kontroversi terbabit.

“Alhamdulillah, peguam saya cakap, saya kini tidak ada apa-apa lagi dengan SPRM. Saya juga sedang dalam proses nak minta pihak mereka mengeluarkan surat untuk memaklumkan jika saya tidak terbabit dengan kes tersebut. Kalau semua dah kembali okey, insya-Allah saya akan buat satu sidang media.

“Peguam ada juga sarankan saya untuk ambil tindakan kepada individu yang melemparkan fitnah dan tuduhan tidak berasas ketika isu tersebut sedang ‘panas’.

“Namun, saya tidak mahu memanjangkan isu terbabit. Saya dah pun maafkan mereka yang buat salah dengan saya,” jelasnya lagi.

Bercakap soal karier seni, Shuib kini ingin berehat seketika daripada industri seni demi memberi fokus kepada perniagaan yang baharu bertapak.

Jelasnya, kesibukan di dalam dunia seni menjadi kekangan untuk dia memberi tumpuan kepada perniagaan yang kini menjadi punca rezeki untuk dia sekeluarga.

Pun begitu, suami kepada penyanyi Siti Sarah Raisuddin ini tidak akan pernah mengundurkan diri daripada dunia seni memandangkan ini adalah bidang yang cukup diminati sejak dari dahulu lagi.

Semalam, Shuib mengumumkan untuk tidak lagi bergelar penyampai radio Hot FM selepas kontraknya yang akan berakhir pada 31 Januari ini tidak disambung. Selain Shuib juga tidak akan terlibat dengan sebarang akitviti seni dengan kumpulan Sepah yang turut dianggotai oleh Jep, Rahim dan Pak Ya.