Apabila hadis menyebut tentang khasiat talbina sangat baik untuk kesihatan jasmani dan rohani, fizikal mahupun spiritual, sudah tentu ia mempunyai asas yang kuat apatah lagi ia merupakan saranan dari Baginda s.a.w.

Lalu penyelidikan pun dilakukan di seluruh dunia untuk membuktikan bahawa barli dan gandum yang belum diproses mempunyai khasiat yang tinggi.

Saintis telah mengkaji bijirin penuh barli dan gandum, mendapati ia kaya dengan albuminoids, kanji, lemak di dalam bentuk Leucosine Gluten Albumen, komponen Nitrogen seperti plamatic asid, asid Salisylic, asid phosphoric dan Hypoxanthens.

Barli dan gandum juga sumber serat larut dan tidak larut paling banyak. Serat larutnya mengandungi  beta-glucans yang banyak berbanding bijirin lain. Ia juga boleh membantu fungsi sistem imun. Selain itu ia mengandungi vitamin B,E dan A, iron, magnesium, zink, fosforus, tembaga dan kaya dengan chromium yang mana ia penting untuk mengekalkan paras gula dalam darah.

Pada 23 Disember 2005, Food and Drug Administration (FDA) mengesahkan, di dalam bijirin penuh barli boleh mengurangkan risiko koronari jantung. Pengambilan semua produk yang dihasilkan dari barli seperi bijirin penuh, emping, hancuran, tepung dan  bijirin yang dikisar kasar semuanya mempunyai nilai kesihatan yang tinggi.

Kajian saintifik membuktikan, dengan mencampurkan barli dan gandum bijirin penuh di dalam diet harian boleh menurunkan kadar kolesterol. Ia juga mengandungi bahan kimia yang hampir sama seperti tocotrienol yang tugasnya untuk mengesan enzim yang membantu menghasilkan kolesterol.

Jadi, makanlah talbina bila-bila saja anda suka kerana harganya murah tapi khasiatnya paling mahal. Apalah maknanya bijirin barli dan gandum yang harganya 60 sen 100 gram jika dibandingkan dengan kesihatan. Kalau tidak dijaga kesihatan itu, lagi besar belanjanya untuk mengubati penyakit.

Setiap sesuatu yang Nabi s.a.w cadangkan memang ada hikmah di sebaliknya tinggal umatnya saja yang mahu mengikut atau tidak. Bubur talbina sebenarnya memainkan peranan penting untuk mencegah penyakit jantung dan sistem peredaran.

Sebagaimana yang diketahui ia untuk mencegah pembentukan pembekuan darah di arteri terutamanya arteri koronari. Dengan cara itu, ia akan dapat menghindarkan banyak penyakit jantung seperti agina iaitu sakit dada yang disebabkan kekurangan oksigen yang dihantar ke otot jantung.

Barli dan gandum adalah anugerah Allah s.w.t. yang luarbiasa untuk kesihatan tubuh manusia.

Bagaimana pun, bagi mereka yang memang sudah menghidap penyakit jantung, talbina masih boleh membantu. Dengan semua zat, mineral yang terkandung di dalamnya ia boleh mengawal keadaan agar tidak menjadi lebih kritikal. Itulah sebenarnya dikatakan oleh Rasulullah di dalam hadis bahawa talbina dapat melegakan hati (jantung) orang yang sedang sakit.

Talbina merawat kanser dan awet muda

Tadi sudah disebut bahawa bijirin penuh barli dan gandum mengandungi antioksidan yang tinggi seperti vitamin E dan A. Dan, kajian juga telah membuktikan, antioksidan boleh memperbaiki dan  mencegah sebarang gangguan pada sel yang mempercepatkan tumor. Kerana itu, antioksidan penting untuk melindungi badan dari serangan radikal bebas yang akan menyebabkan kemusnahan tisu sel dan DNA.

Radikal bebas itu juga penyebab utama kanser dan mempercepatkan penuaan. Malah, sembilan daripada 10 orang doktor bersetuju bahawa antioksidan boleh menghalang banyak penyakit dan melindungi kerosakan tisu sel dan melambatkan penuaan.

Allah juga menganugerahkan bijirin penuh barli dan gandum dengan hormon melatonin semula jadi. Biasanya hormon itu dirembes oleh kelenjar pineal yang terletak di otak namun dengan pertambahan usia, hormon itu akan berkurangan dengan sendirinya. Untuk mengekalkannya, bubur talbina memang boleh membantu.

Melatonin sangat penting  kerana ia boleh mencegah sakit jantung dan menurunkan kolesterol di dalam darah. Secara tidak langsung ia akan menurunkan tekanan darah yang memberi kesan pada banyak penyakit dan warga emas. Melatonin juga memperbaiki sistem pertahanan tubuh dan melambatkan  proses penuaan, mengatur waktu tidur dan jaga.

Jus barli pula mengandungi superoxide dismutase (S.O.D) iaitu sejenis enzim yang melambatkan proses penuaan. Memang benar tidak ada siapa yang boleh mengelak menjadi tua tetapi sains membuktikan, enzim S.O.D mampu melambatkan proses itu.

Merawat diabetes dan darah tinggi

Kandungan serat yang tinggi di dalam barli dan gandum juga boleh mengawal tahap gula di dalam darah agar tidak terlalu tinggi. Bagi pesakit yang mengalami diabetes jenis 2 dicadangkan untuk mengambil lebih banyak barli di dalam hidangan harian. Barli dan gandum bijirin penuh, kaya dengan magnesium serta mineral yang bertindak sebagai pemangkin kepada 300 enzim termasuklah enzim mengawal glukos dan rembesan insulin.

Talbina adalah perlindungan terbaik untuk jantung

Sebab itulah talbina adalah perlindungan paling bagus untuk menghalang diabetes menjadi semakin teruk dan mengelakkan kesan sampingan dari penyakit jantung. Ia juga penawar paling baik untuk mereka yang mempunyai paras glukosa tinggi di dalam darah.

Ada kajian menunjukkan, diet yang kaya dengan  potassium boleh menghalang tekanan darah tinggi. Potassium juga menstabilkan imbangan antara air dan garam di dalam sel.

Melancarkan dan melunakkan usus

Bijirin penuh barli dan gandum mempunyai serat yang banyak. Serat itu tidak larut di dalam air di sistem penghadaman. Walau bagaimanapun ia boleh menyerap air yang banyak dan menyimpannya di dalam usus untuk meningkatkan sisa buangan tetapi mengekalkannya di dalam keadaan lembut.  

Sekali gus memudahkan pergerakannya di dalam usus. Dengan cara ini, serat tidak larut di dalam bijirin penuh akan mengaktifkan pergerakan di dalam usus dan membantu membuang sisanya dengan mudah.

Serat larut bekerja dengan cara yang sama seperti bakteria di dalam usus iaitu bertindak menambahkan jumlah sisa buangan dan mengaktifkan pergerakan di dalam usus untuk memudahkan lagi sisa makanan itu dibuang.

Ada kajian yang menunjukkan, bijirin penuh gandum serta barli boleh mengurangkan risiko mendapat kanser usus. Semakin kurang sisa yang tertinggal di dalam usus makin kurang risiko untuk mendapat tumor. Dan, ini mungkin disebabkan oleh bakteria yang bertindak menguraikan serat tersebut serta kandungan antioksidan yang tinggi.

Dari itu, apa kata sepanjang perintah kawalan pergerakan (PKP) ini tukar diet anda dengan talbina kerana harganya murah tetapi khasiat sangat mahal.