Siri 3: Tidak sia-sia Rasulullah menyarankan makan talbina. Ini sebabnya…

0
45

Di masa lalu, ahli psikologi menggunakan analisa psikologi dan teorinya untuk mendiagnosis penyakit psikologi. Bagaimanapun, kini dengan sekian banyak penemuan sains, pakar neurologi sudah mampu menerangkan bahawa kesedihan adalah disebabkan kecelaruan bahan kimia yang mengawal mood.

Antara bahan kimia yang dikenal pasti mengawal mood ialah potassium, magnesium dan antioksidan. Menariknya, semua itu ada pada bijirin penuh barli dan gandum. Tidak sia-sialah apabila Rasulullah mengatakan,  talbina  dapat menghilangkan perasaan dukacita kerana memang ia sudah terbukti.

Dari situ kita kena berbalik semula pada persoalan siapa yang memberitahu Rasulullah tentang semua itu kalau bukan Allah. Apa yang dikatakan oleh baginda semuanya benar belaka dan ia telah dijelaskan di dalam al-Quran sebagaimana firman Allah di dalam surah an-Najm, 3-5,

Dan ia tidak memperkatakan (sesuatu yang berhubungan dengan agama Islam) menurut kemahuannya dan pendapatnya sendiri. Segala yang diperkatakannya itu(sama ada al-Quran atau hadis) tidak lain hanya wahyu yang diwahyukan kepadanya. Wahyu itu (disampaikan dan ) diajarkan kepadanya oleh (malaikat Jibril) yang amat kuat dan gagah.”

Bagaimana talbina boleh menghilangkan perasaan dukacita?

Potassium dan magnesium mempunyai pengaruh yang penting di dalam mengawal perasaan bimbang, kesedihan dan marah. Kandungan potassium yang tinggi di dalam badan boleh memacu perasaan gembira.

Bila sudah gembira, tentunya ia akan menghilangkan stres dan  melempar perasaan bimbang serta kesedihan jauh-jauh.

Kemudian vitamin B juga antara zat penting terdapat di dalam barli dan gandum. Salah satu penyebab kesedihan adalah kerana kelewatan menghantar isyarat kepada saraf. Kegagalan itu juga disebabkan berlakunya kekurangan vitamin B. Bagi sesiapa yang sedang bersedih amat digalakkan untuk meningkatkan pengambilan vitamin B dan semestinya ia terdapat di dalam barli serta gandum.

Cerita tentang antioksidan pula, talbina yang direbus hasil campuran barli dan gandum bijirin penuh, membekalkan banyak antioksidan termasuklah vitamin E dan A.  Kedua-dua vitamin itu membantu merawat kesedihan di kalangan warga emas di dalam jangka masa singkat. Kedua-dua bijirin itu juga mengandungi asid amino (tryptophan) yang memainkan peranan penting pembentukan neurotransmitter.

Justeru, andai anda sedang dalam kesedihan atau kemurungan saat ini, makanlah bijiran penuh barli atau gandum. Insya Allah mungkin segala kesedihan atau duka lara tersebut akan hilang. Untuk lebih baik di masa akan datang, jadikan barli atau gandum sebagai menu diet harian anda.