Tegaknya sebuah madrasah

Pukul 5.55 petang.

Haji Salam berbaring-baring di kerusi malasnya. Dia baru saja lepas sembahyang. Hari ini dia begitu lambat menunaikan fardu Asarnya kerana tertidur selepas menyempurnakan Zuhur tengah hari tadi. Dia bermenung-menung mengingat kisah semalam.

Malam semalam dia tidur agak lewat dari biasa kerana mesyuarat tentang hendak mendirikan sebuah madrasah di kampungnya itu, yang dia sendiri menjadi pengerusinya, telah berakhir hampir-hampir tengah malam.

Beberapa keputusan telah tercapai, walaupun ada di antaranya Haji Salam sendiri tidak menyukainya, dia tak dapat berbuat apa-apa, persetujuan ramai mesti diakui. Memang demikian undang-undang bermesyuarat.

Tentang hendak mengutip derma dari seluruh penduduk kampung itu dapat persetujuan seratus peratus. Syor Lebai Moin hendak meminta pertolongan dari kerajaan melalui Wakil Rakyat daerah itu, juga tidak ada bangkangan. Semuanya mengangguk-angguk dan tangan putih berjulang ke atas. Setuju.

Tapi bila Pak Jono mengusulkan hendak meminta wang Loteri Kebajikan Masyarakat, dan Roslan (satu-satunya anak Haji Salim) hendak mengadakan suatu persembahan pentas – sandiwara amal, maka majlis itu mula menjadi ribut, penyokong dan pembangkang bertikam lidah.

Majlis itu sudah berpihak-pihak. Yang tua-tua, yang haji-haji dan yang lebai-lebai tidak bersetuju. Sedangkan orang muda-muda, yang menuding-nuding senget songkoknya, yang berkerul licin dihinggap lalat berhempas jatuh itu, bersungguh-sungguh meminta supaya cadangan itu dapat diterima.

Begitu hebatnya perbincangan ini, tapi tidaklah sehebat rancangan Tunku Abdul Rahman hendak menubuhkan negara Malaysia, kerana rancangan ini hanya berlengkar di sekitar bangunan sekolah tempat mesyuarat itu sahaja.

Waktu hampir-hampir tengah malam semua cadangan itu dapat dipersetujui mengikut kelebihan suara. Hanya tentang bantuan wang Loteri Kebajikan Masyarakat itu sahaja telah tumbang kerana masing-masing masih meragukan, ataukah alim ulama seluruhnya sudah sepakat mengatakan wang loteri seperti itu, halal hukumnya.

Haji Salam merenung ke dinding. Jam besarnya memberi isyarat dengan kedua-dua jarumnya terjuntai ke bawah, sudah pukul 6.30 sekarang.

Perlahan-lahan dia mencapai kopiah putihnya, serban yang berwarna kuning telur dan berumbai-rumbai hujungnya itu disidaikan ke bahunya. Dia turun begitu tenang, begitu aman dibungkus suasana senja, menuju ke surau yang tak jauh dari rumahnya itu.

Haji Salam memang seorang yang sederhana hidupnya. Mak Haji Munah, isterinya itu pula seorang yang cermat dan tau menjaga harta suaminya. Sejak mereka berkahwin kira-kira 25 tahun yang lalu, dengan mengamalkan sifat-sifat kesederhanaannya itulah terbentang hidupnya yang aman bahagia di waktu tua begini.

Anaknya seramai tiga orang itu, Anisah, 22 tahun, sudah bersuami dan tinggal bersama suaminya di kampung lain, Roslan, 20 tahun, masih bujang, menjadi guru sekolah kebangsaan, dan yang bongsunya, Timah, masih gadis, 16 tahun, penuntut di sebuah sekolah Arab. 

Tiga orang anaknya inilah yang akan menjadi lanjutan sejarah Haji Salam bila matinya kelak.

Entah kenapa sejak tua-tuanya ini Haji Salam terlalu fanatik kepada agama, barang kali dia mengira-ngirakan hari matinya yang semakin hampir itu. Pernah dia menolak jawatan Penghulu yang hendak diberikan orang kepadanya, dan pernah juga dia mengelak daripada dicalonkan untuk menjadi Wakil Rakyat di daerahnya.

“Seorang penghulu adalah hakim di dalam kampung, dan hakim yang tidak miskin tanda pencuri, hakim-hakim yang tidak adil akan menjadi puntung api neraka.” Demikian Haji Salam mengingat-ngingat falsafah Al-Imam Shafie, sebagai mana yang tertulis dalam buku sejarah hidup imam yang besar itu.

Memang selama ini Haji Salam telah mengotakan apa yang dikatanya. Teori dan praktiknya adalah sejajar. Dia berpendapat, sebuah amalan yang menyimpang dari teori yang sebenar itu adalah penaka sebuah kapal yang besar lagi indah, tapi kemudinya dibuat dari kayu yang reput; kapal itu pasti akan hanyut dan hilang ditelan badai.

Tapi, tentang usaha hendak mendirikan madarasah di kampungnya itu, Haji Salam tertakluk di bawah kibaran bendera di sekitarnya. Biar apa pun jalan yang ditempuh, namun maksud adalah satu: untuk kebajikan umum, manusia setempat.