Guna gambar untuk jual produk tanpa kebenaran, Awie akan ambil tindakan perundangan

0
803

KUALA LUMPUR – Penyanyi rock terkenal, Datuk Awie mahu mengambil tindakan undang-undang terhadap syarikat produk berasaskan suplemen yang menyalah gunakan gambarnya bagi tujuan promosi.

Menurut Awie, syarikat terbabit iaitu AG Nutrition International Sdn. Bhd. turut menyunting wajahnya pada gambar individu lain tanpa kebenaran walhal dia bukanlah duta atau pengguna produk terbabit.

“Saya tahu gambar-gambar saya disalah guna sejak sebulan lalu. Saya dapati gambar tersebut telah banyak disebarkan di media sosial oleh pengguna media sosial yang saya percaya adalah ejen kepada syarikat tersebut.

“Foto itu dimuat naik berserta kenyataan-kenyataan kononnya saya mengamalkan dan menggunakan produk itu padahal saya langsung tidak tahu tentang kewujudan produk itu.

“Saya lihat banyak gambar saya yang sedang memegang produk dikenali sebagai AG Cera telah tersebar luas di laman sosial dan saya berasakan ia satu tindakan yang tidak bertanggung jawab,” katanya.

PRODUK supplemen yang menggunakan wajah Awie tanpa kebenaran

Justeru itu, Awie atau nama sebenarnya Ahmad Azhar Othman,53, telah membuat satu sidang akhbar secara maya pada hari ini bertujuan untuk memberitahu jika dia tidak terlibat dengan produk tersebut dan berharap pembeli tidak mudah terperdaya.

“Saya tidak pernah dibayar atau dilantik sebagai duta untuk syarikat itu. Malah, saya tidak terlibat untuk mempromosi atau memasarkan produk yang dijual.

“Saya juga tidak pernah bergambar bersama dengan produk tersebut malah foto itu telah dipalsukan.

“Saya juga tidak pernah menyatakan sokongan terhadap produk syarikat itu apatah lagi mengamalkan dan membeli produk terbabit,” tegasnya.

Dalam pada itu, Awie melalui peguamnya, Adnan Seman daripada Tetuan Adnan Sharida & Associates telah menghantar surat tuntutan kepada syarikat berkenaan pada tarikh 6 Januari lalu.

“Syarikat itu sudah membalas surat tuntutan tersebut pada 13 Januari namun mereka membuat penafian jika syarikatnya mahupun ejen-ejen di bawahnya telah mengeksploitasi gambar saya dengan niat untuk mempromosikan produk.

Gambar wajah Awie disunting dan ditampal pada gambar promosi produk tersebut

“Sebenarnya kami memberi tempoh tujuh hari untuk pihak terbabit memadam gambar saya, namun surat balas yang kami terima daripada mereka sudah melebihi tempoh.

“Gambar saya masih lagi tersebar bersama dengan produk berkenaan di media sosial. Justeru itu, saya telah mengarahkan peguam saya untuk mengambil tindakan sewajarnya terhadap pihak terbabit,” ulasnya.

Jom join channel Telegram UtusanTV untuk ikuti berita terkini dan sensasi

TONTON VIDEO PILIHAN: