Persoalan di atas ini telah diajukan oleh salah seorang hadirin ketika di dalam satu majlis ilmu. Lalu murabbi yang mengendalikan majlis tersebut memberikan jawapannya.
Ketahuilah wahai saudaraku, menjadi lumrah dalam kehidupan, sesuatu jalan yang lurus dan benar tidak mudah untuk diikuti. Setiap orang punya persepsi serta pandangan yang berbeza-beza.
Bagi seorang pemabuk contohnya. Mereka mungkin tidak mahu menerima Islam kerana tidak mahu berhenti dari minum arak. Begitu juga bagi seorang yang gemar melakukan maksiat seperti zina. Mungkin mereka enggan menerima Islam kerana tidak mahu meninggalkan amalan maksiat tersebut. Bahkan dengan sistem perundangan Islam seperti hudud dan ta’zir sudah tentu membuatkan mereka menjauhi Islam.
Inilah yang menjadi tembok menghalang mereka untuk menerima Islam sekalipun ia adalah agama yang benar
Ada juga yang mungkin tidak suka melakukan maksiat, tidak minum arak, berakhlak baik sesuai dengan ajaran Islam, namun mungkin kerana persepsi dan pandangan orang sekeliling, penerimaan keluarga dan sahabat yang menjadikan mereka tetap dengan agama asal. Jika memeluk Islam mereka mungkin dipinggir atau disisihkan oleh sahabat atau keluarga yang belum Islam.
Semua rintangan inilah yang menyebabkan dia sukar untuk menerima Islam, melainkan dia berjaya melepasi halangan tersebut. Namun semua itu memerlukan pengorbanan dan bergantung pada dirinya sendiri.
Wahai saudaraku, perhatikan firman Allah dalam surah al-Baqarah: 256 yang jelas menyebut,
“tidak ada paksaan untuk (memasuki) agama (Islam), sesungguhnya telah jelas jalan yang benar daripada jalan yang sesat…”
Setiap orang bebas menganut agama masing-masing. Tiada paksaan untuk mereka menerima kebenaran Islam.Tugas kita sebagai seorang muslim pula adalah tetap untuk menyebarkan kebenaran. Samada mereka ingin menerima atau tidak itu bergantung pada diri mereka sendiri.
Dan sekiranya Allah s.w.t. inginkan semua manusia memeluk Islam, itu bukanlah sesuatu yang mustahil dan sukar bagi Allah. Ia terlalu mudah sebagaimana dalam firman Nya surah Yunus: 99
“Dan jikalau tuhanmu menghendaki, tentulah beriman semua orang yang berada di muka bumi seluruhnya. Maka apakah kamu (hendak) memaksa manusia supaya mereka menjadi orang yang beriman semuanya?”
Lihat! boleh sahaja jika Allah mahukan semua manusia menyembah Nya dan beriman kepada Nya. Akan tetapi di mana pula ujiannya, sedangkan dunia ini adalah medan ujian bagi manusia seperti mana di sebut dalam surah al-Mulk: 2
“Dialah yang menciptakan mati dan hidup untuk menguji kamu, siapa di antara kamu yang lebih baik amalnya. Dan Dia Maha Perkasa lagi Maha Pengampun”
Jadi hidup ini adalah ujian untuk akhirat kelak. Ketika seseorang menyedari kebenaran Islam dia juga tidak akan patuh dan mengikut kebenaran itu. Sekalipun ia muslim belum tentu ia akan mengikut syariat Islam seratus peratus. Boleh jadi mereka akan hanya mengikut 20 peratus, 50 peratus, atau 70 peratus. Terlalu sedikit yang patuh dan mengikut syariat Islam sehingga seratus peratus. Mungkin kerana mereka juga punya kebiasaan yang buruk.
Lalu apa yang perlu kita sedar ialah, berapa pun kepatuhan mereka terhadap Islam namun keiman kepada Allah dan Rasul Nya serta beriman dengan hari akhirat, adalah point yang paling penting sebagai seorang Islam.