SELAMA 30 tahun kita didorong dengan mimpi indah menjelang 2020. Ketika itu, rakyat dicandukan dengan pelbagai kejayaan.
Kanak-kanak pada ketika itu membayangkan langit Malaysia dipenuhi kereta terbang. Dicelah-celah bangunan yang mencakar langit berselerat dengan kereta api seperti kepala lipan bara yang bergerak dengan ekor yang sekata, cantik.
Cerdik pandai pula membayangkan pada ketika itu pendapatan rakyat Malaysia sudah sama dengan negara maju. Kehidupan yang sempurna atau kini perkataan yang lazim digunakan, kehidupan yang wajar (decent) tanpa ada satu golongan rakyat pun yang tercicir.
2020 dikatakan sejajar dengan falsafah penglihatan yang baik 20/20 yakni jelas tanpa ada sebarang kekaburan.
Tahun yang ditunggu sudah berlalu. Bulan pertama 2021 sudah hampir berakhir. Malaysia sudah berubah berbanding dekad 50-an, 60-an, 70-an, 80-an dan 90-an.
Ciri-ciri sebuah tamadun yang hebat sudah ada. Kuala Lumpur sudah menjadi sebuah metropolis dunia. Kereta api bergerak meliuk-liuk di celah-celah bangunan dan kadang kala turun ke dalam tanah. Tak ubah seperti pergerakan lipan dengan warna kemerah-merahan.
Putrajaya pula megah dengan seni reka gabungan Islam dan Melayu serta bandar yang tersusun.
Namun apakah itu memadai?.
Di manakah kedudukan Malaysia hari ini. Sebelum COVID-19 melanda, ekonomi Malaysia sudah suram. Dua tahun berturut-turut pertumbuhan Kadar Dalam Negeri Kasar (KDNK) mencatatkan di bawah 5 peratus.
Kadar kemiskinan melonjak selepas Kerajaan menggunakan metodologi baharu yang lebih realistik.
Kedudukan Malaysia di mata dunia tidak comel, dilihat sebagai sebuah negara korup bersabitan skandal 1MDB.
Paling parah, keadaan politik yang tidak stabil dan goyah sehinggakan usaha untuk menanggani krisis kesihatan dan ekonomi semakin sukar.
Pergolakan politik pasca Pilihan Raya Umum Ke-14 tidak menentu. Kerajaan Pakatan Harapan (PH) tumbang dalam tempoh 22 bulan. Kerajaan yang ada hari ini Perikatan Nasional (PN) pula amat lemah dengan gabungan parti politik yang tidak sehaluan.
Malah PN dibebani dengan isu-isu warisan yang semakin membusung sehingga mengganggu kedudukan kewangan negara apatah lagi COVID-19 menyebabkan disiplin fiskal terpaksa diabaikan buat sementara waktu.
Persoalan-persoalan ini bukan rahsia dan telah dibincangkan secara terbuka. Pemimpin-pemimpin politik saling tuduh menuduh.
Apa yang pasti kealpaan dan kesilapan berpuluh tahun lalu terpaksa ditanggung hari ini. Jika tidak ditangani dengan betul anak cucu pasti menanggung akibat yang lebih buruk.
Dalam keadaan serba kepayahan ini, Kerajaan yang ditunjangi oleh Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin terpaksa menyelesaikannya dengan berhemah.
Dua perkara yang harus diteliti dengan rasional sebelum ‘kerosakan’ ini berlaku.
Pertama isu 1MDB dan kedua, cukai jualan dan perkhidmatan (GST). Kedua-duanya pada era Perdana Menteri Keenam yang diberi jolokan oleh penyokongnya sebagai ‘Najibnomics’.
Mari kita kupas perkara kedua terlebih dahulu sebelum ke perkara pertama. GST dikatakan sistem percukaian yang terbaik di dunia. Sistem ini dikatakan telus dan boleh menghapuskan ketirisan daripada ekonomi gelap.
GST yang dilancarkan pada 1 April 2015 mencatatkan kutipan hasil yang lebih baik daripada sistem cukai terdahulu iaitu Cukai Jualan (berkadar 10%) dan Cukai Perkhidmatan (berkadar 6%). Pada tahun 2016, kerajaan berjaya mengutip hasil sebanyak RM42 bilion daripada sistem ini berbanding tidak sampai RM20 bilion melalui sistem cukai SST.
GST menampung kekurangan pendapatan daripada hasil petroleum yang semakin menyusut akibat perubahan ekosistem dunia. Sebagai contoh, COVID-19 menyebabkan harga minyak mentah dunia merudum lagi. Pada April 2020, harga minyak mentah di Amerika Syarikat merudum ke paras negative, tidak pernah berlaku dalam sejarah.
Apa yang berlaku hari ini memberikan bukti yang jelas rasional GST. Namun sayang ia dipolitikan bagi menjatuhkan kerajaan Barisan Nasional (BN) pada ketika itu.
Rakyat dimomokkan dengan pelbagai kezaliman kerajaan menindas rakyat dengan menggunakan GST bagi membayar kembali kerugian atau mungkin ketirisan daripada 1MDB. PH menghapuskan GST dan memberikan ‘cuti’ cukai selama tiga bulan.
Sebelum ‘skandal’ yang menjadi perhatian seluruh dunia ini tersebar, UMNO sudah dikaitkan dengan pelbagai masalah rasuah dan ketirisan.
Namun 1MDB seperti menjadi punca kepada segala-galanya. Mempercepatkan kematian BN khususnya UMNO daripada terus menjadi tonggak kepada kerajaan sejak merdeka.
Kerajaan memerlukan sekurang-kurangnya RM1.52 bilion setahun dari November 2015 hingga Mei 2024 untuk membayar semula hutang 1MDB yang dianggarkan sebanyak RM42.26 bilion antara November 2015 dan Mei 2039.
Wang RM1.52 bilion ini boleh membina lebih 30,000 buah rumah mesra rakyat, 50 buah sekolah atau lima buah hospital pakar. Berapa banyak rakyat rugi?.
Ketika isu 1MDB memuncak pada tahun 2016, Kerajaan BN mengumunkan pelbagai projek mega seperti projek Kereta Api Laju (HSR) Kuala Lumpur – Singpura; Projek Rel Pantai Timur (ECRL); Transit Aliran Ringan 3 (LRT3); Saluran Paip Pelbagai Produk (MPP) dan Saluran Paip Gas Trans-Sabah (TSGP). Kos kesemua projek ini melebihi RM130 bilion.
Adakah Kerajaan dalam tergesa-gesa ketika mengumumkan kesemua projek ini?
Sebahagian besar kos projek-projek ini adalah melibatkan pinjaman. Tanpa sumber pendapatan yang besar seperti daripada GST dan hutang yang tidak sepatutnya dibuat bagaimana projek-projek untuk dibiayai.
Kerajaan yang ada hari ini perlu membuat keputusan sama ada meneruskan projek ini atau membatalkannya. Jika dibatalkan Kerajaan perlu membayar ganti rugi sebagaimana projek HSR yang dibatalkan pada 1 Januari 2021. Langkah tersebut terpaksa dibuat untuk mengelakkan kerugian yang lebih besar (cutting loses) pada masa depan.
Ini tidak termasuk Kerajaan terpaksa menanggung hutang agensi-agensi seperti FELDA dan Tabung Haji. Macam-macam hujah boleh dikeluarkan untuk menutup kesilapan namun yang pasti, kerajaan tetap perlu membayar hutang sekurang-kurangnya RM2 bilion setiap tahun untuk kedua-dua agensi ini. Siapa yang rugi?
Masalah-masalah yang dihadapi ini menyebabkan agensi penarafan antarabngsa seperti moody dan fitch menurukan rating. Fitchrating menurunkan Malaysia daripada A- kepada BBB+.
Ini merupakan penarafan terburuk sejak krisis kewangan 20 tahun lalu.
Penarafan ini memberikan kesan yang besar kepada kadar faedah pinjaman negara. Penarafan ini juga menyebabkan pelabur bimbang untuk datang ke Malaysia walaupun negara ini mempunyai asas ekonomi yang kukuh.
Inilah keadaan yang berlaku pada hari ini. Perbezaan pandangan politik, dendam dan masing-masing merasakan diri mereka hebat menyebabkan Malaysia terperangkap dalam keadaan hari ini.
Kita sudah melakukan kesalahan pada masa lalu. Sekarang bukan masa untuk menuding jari siapa yang salah. Kini adalah masa untuk melangkah ke hadapan.
Sudah-sudahlah berpolitik. Bersatu untuk menempuh cabaran yang amat besar, krisis kesihatan dan krisis ekonomi yang paling buruk dalam sejarah dunia.
Menjunjung kasih Sri Paduka Baginda Yang Dipertuan Agong atas kebijaksanaan mengisytiharkan darurat untuk member tumpuan sepenuhnya menyelesaikan krisis yang mengancam keselamatan rakyat serta negara.
Lupakanlah seketika titik bingit perbezaan politik demi rakyat kerana biar siapa pun menjadi kerajaan pada ketika ini akan menghadapi masalah yang sama dek kerana majoriti yang terlalu tipis.
Alangkah indahnya jika pemimpin kita berjiwa besar dan bersama-sama berganding tangan untuk menyelesaikan krisis yang bakal meruntuhkan negara?
SENAWI MUSA
Putrajaya