Thailand: Wanita dipenjara 43 tahun hina raja

0
235

BANGKOK – Undang-undang menghina institusi raja atau lese majeste Thailand memang dikenali di seluruh dunia sebagai paling tegas.

Bukan sahaja dari segi peruntukan hukuman bahkan dari aspek penguatkuasaan bagi memastikan ketertinggian institusi itu dipelihara.

Semalam, menyaksikan Mahkamah Thailand menjatuhi hukuman penjara lebih 43 tahun terhadap seorang wanita berusia 65 tahun kerana berkongsi hantaran dalam talian yang mengkritik keluarga Raja negara itu.

Menurut peguam, Pawinee Chumsri, anak guamnya menerima hukuman paling keras pernah dijatuhkan di negara itu kerana menghina monarki.

Katanya, Anchan Preelert mengaku bersalah terhadap 29 sabitan berasingan iaitu berkongsi dan memuat naik klip di saluran Youtube serta Facebook antara 2014 dan 2015.

Anchan Preelert. /Gambar media sosial

Menurutnya, Achan pada mulanya dijatuhi hukuman selama 87 tahun tetapi tindakannya mengaku bersalah menyaksikan mahkamah mengurangkan tempoh hukuman.

“Ini adalah hukuman penjara paling lama yang pernah berlaku dalam kes ‘lese majeste’.

“Bagaimanapun, Anchan boleh membuat rayuan di dua mahkamah tinggi,” katanya yang juga anggota Kumpulan Peguam Thailand untuk Hak Asasi Manusia seperrti dilapor portal BH Online.

Sementara itu, Amnesty International menyuarakan kekecewaan terhadap berita wanita itu menerima hukuman penjara paling lama di Thailand kerana menghina monarki.

Pada Januari 2015, pegawai keselamatan menyerbu kediaman Anchan beberapa bulan selepas kerajaan pilihan rakyat digulingkan dalam rampasan kuasa oleh tentera.

Pada awalnya, kes itu dibawa ke mahkamah tentera tetapi dipindahkan ke mahkamah awam selepas pilihan raya umum 2019 yang menyaksikan bekas pemimpin junta, Prayuth Chan-ocha, kekal sebagai perdana menteri.

Sekurang-kurangnya 169 orang didakwa di bawah pertuduhan ‘lese majeste’ selepas rampasan kuasa pada 2014.

Menurut kumpulan peguam hak asasi, beberapa kes memerlukan masa bertahun-tahun untuk diproses.

Semalam, seorang lelaki yang ditahan pada 2014 dijatuhi hukuman penjara lebih empat tahun kerana menerbitkan artikel dan puisi secara dalam talian, yang menurut mahkamah, mengandungi kepalsuan mengenai monarki.