Tutup lampu ketika tidur, ada manfaatnya untuk kesihatan

0
33

Dalam sebuah hadis Rasulullah s.a.w. ada menyatakan tentang keperluan tidur dalam keadaan gelap gelita.

Sabda Baginda, “Tutuplah pintu, ikatlah penutup tempat minum, tumpahkanlah atau tutuplah bekas-bekas, padamkanlah lampu kerana syaitan itu tidak akan membuka yang tertutup, tidak pula yang terikat, dan juga tidak akan membuka bejana. Dan tikus terkadang boleh membakar rumah manusia.” (HR Tirmizi)

Hadis di atas menjelaskan tentang beberapa perkara yang perlu diterapkan ketika ingin tidur antaranya ialah menutup bekas-bekas makanan dan mematikan lampu. Pada zaman Rasulullah, pelita digunakan sebagai lampu di rumah-rumah untuk menerangi kegelapan malam. Oleh itu apabila ia tidak dipadamkan, dikhuatiri binatang-binatang seperti tikus melanggar pelita tersebut dan mengakibatkan kebakaran.

Bagaimanapun pada zaman ini, pelita tidak lagi digunakan sebagai lampu yang menerangi rumah, berikutan penggunaan meluas lampu-lampu pendaflour berteknologi tinggi yang dihidupkan menggunakan sumber elektrik.

Persoalannya adakah hadis tersebut masih lagi bersesuaian diamalkan pada masa kini?  

Dalam hal ini, ia boleh dilihat dari dua sudut pandangan yang berbeza iaitu, hikmah amalan sunnah dan senario zaman moden. Amalan menutup lampu pada waktu malam sangat releven untuk diamalkan kerana, amalan tersebut dapat menjimatkan elektrik, mengelakkan kepanasan dan mempengaruhi kesihatan tubuh manusia.

Tidur tanpa cahaya meningkatkan kualiti tidur serta bahan kimia dalam tubuh yang dikenal sebagai melatonin.

Jika kita lihat kepada kajian saintifik yang pernah dijalankan, amalan menutup lampu di waktu malam ketika tidur meningkatkan kualiti tidur serta penghasilan bahan kimia dalam tubuh badan manusia yang dikenali dengan melatonin. Bahan kimia ini berasal dari asid amino triptofan dan berfungsi mengawal aktiviti tidur.

Tahap penghasilan melatonin dipengaruhi oleh cahaya persekitaran di sekeliling kita. Teori awal mendapati bahawa pada usia 20-an, penghasilan melatonin dalam tubuh badan manusia berada pada tahap maksimum dan akan menurun kepada 20 peratus pada usia 80-an. Oleh itu, tahap penghasilan bahan kimia ini didapati merosot apabila usia seseorang meningkat dan ia merupakan antara faktor masalah tidur di kalangan warga tua.

Bagaimanapun kajian terbaru yang dijalankan tidak menyokong teori awal, bahkan menyatakan bahawa penghasilan melatonin tidak merosot dengan peningkatan usia seseorang.

Terdapat kajian-kajian perubatan lain yang membuktikan bahawa melatonin juga berperanan sebagai agen pencegah kanser, berikutan kurangnya kerosakan DNA dalam tubuh badan manusia. Selain itu, melatonin dapat memperbaiki aktiviti tidur pesakit seperti Alzhemeir, Parkinson, gangguan Bipolar dan kencing manis.

Menurut Prof. Russle Reiter dari Universiti Texas,

“sekali anda tidur dan tidak mematikan lampu selama seminit, otak anda segera mengesan bahawa lampu menyala seharian dan penghasilan melatonin mula menurun”

Adapun bukti-bukti saintifik tersebut bertepatan serta menyokong tuntutan dari hadis Baginda s.a.w. supaya menutup lampu pada waktu malam sebelum tidur. Sekalipun Baginda tidak menyatakan kelebihan dari sudut kesihatan, tetapi apabila dibuat kajian, jelas setiap perkara yang dilakukan oleh Baginda mengandungi manfaat serta kelebihannya, samada yang tersurat atau yang tersirat.

Inilah yang dikatakan bahawa, setiap apa yang dibawakan oleh Baginda s.a.w. mempunyai hikmahnya yang tersendiri.

Namun begitu, dalam menghadapi kehidupan yang  semakin membangun kini, sudah tentunya kos hidup akan bertambah meningkat saban hari, hingga menjadi salah satu faktor utama berlakunya kejadian-kejadian jenayah. Boleh dikatakan hampir semua kejadian ini berlaku pada waktu malam.

Senario yang berlaku ini menyebabkan di kalangan kita ada yang tidak memadamkan lampu pada waktu malam kerana bimbang berlakunya sesuatu perkara yang tidak diingini. Amalan ini tidaklah bertentangan dengan ajaran Islam, sekalipun dalam hadis di atas menyebutkan keperluan menutup lampu. Ini kerana ia bertujuan untuk menjaga harta benda dan nyawa, selain dapat hidup dalam suasana yang tenteram.

Bahkan amalan ini juga selari dengan Maqasid Syariah yang terbentuk dalam landasan Islam supaya hak manusia terpelihara dan terjaga dengan baik. Oleh itu, tidak salah sekiranya tidur tanpa menutup lampu namun begitu amalan menutup lampu sebelum tidur juga mempunyai hikmahnya tersendiri, selari dengan amalan sunnah Baginda s.a.w.

Ia juga mempunyai manfaat dari segi kesihatan tubuh manusia. Maka terpulang pada kita sama ada hendak mengikutinya atau tidak.