Hajat Ke Mesir Termakbul
Ketika berusia 29 tahun, Dorothy berkahwin dengan seorang pelajar dari Mesir. Tujuan utamanya supaya dapat menetap di Mesir.
Kali pertama menjejakkan kaki di bumi piramid itu, Dorothy melutut, tunduk mencium tanah sambil berkata, “Saya sudah kembali. Saya tak akan ke mana-mana lagi.”
Walaupun perkahwinannya tidak bertahan lama, Dorothy dikurniakan seorang anak lelaki yang dinamakan Seti (sempena nama Firaun Seti I). Sejak kelahiran Seti, Dorothy digelar penduduk setempat sebagai Omm Seti (ibu kepada Seti).
Setelah bercerai, Dorothy terus tinggal di Mesir. Dia memulakan hidup baru berdekatan piramid Giza dan mendapat pekerjaan di Jabatan Antikuiti Mesir. Pengetahuan tinggi Dorothy berkaitan Mesir purba membuat dia dilantik sebagai penasihat rasmi.

Dorothy banyak melakukan perbuatan yang tidak dapat dijangkau oleh ahli arkeologi. Ada kalanya dia bermalam di dalam piramid Giza. Pada masa-masa tertentu, Dorothy akan membuat ritual penyembahan, berdoa, dan membuat persembahan kepada tuhan Horus di Great Sphinx.
Pada tahun 1956, Dorothy berpindah ke Abydos, sebuah bandar purba peninggalan Mesir kuno, dan tempat yang sering disebut sebagai kampung halamannya sejak dia kecil.
Abydos mempunyai nilai sentimental buat Dorothy (atau sebenarnya roh yang menjelma kembali dalam tubuh Dorothy). Di sinilah dia tinggal dan mengabdikan diri di kuil Seti I. Bertemu cintanya dengan Seti I dan akhirnya menghadapi kematian yang tragis.

Pernah sewaktu berkunjung ke kuil Seti I, dia terserempak dengan para pegawai arkeologi Mesir yang pernah mendengar kisah penjelmaan semula Dorothy.
Bagi membuktikan dakwaan penjelmaan itu, mereka membawa Dorothy ke sebuah kuil dan berdiri membelakangi sebuah dinding yang terdapat catatan hiroglif dalam keadaan gelap. Catatan itu pada masa tersebut belum pernah disiarkan kepada umum.
Pegawai itu meminta Dorothy menyatakan tulisan pada dinding tersebut dengan berbekalkan memori lampau kehidupan masa lalunya.
Dapatkah Dorothy menjawabnya?
Ya. Dorothy mampu menyatakan setiap tulisan pada dinding kuil itu dengan terperinci, tanpa sebarang masalah dalam masa singkat seolah-olah sudah menghafalnya.
Ia membuat ahli arkeologi berasa kagum dan mula percaya dengan penjelmaan semula Bentreshyt dalam tubuh badan Dorothy.
Pernah satu ketika, Dorothy melawat kuil Seti I dan berkata, “Gali di sini. Ada sebuah taman lama di bawahnya.” Dan ternyata ia benar.
Sebaik menggali, pakar arkeologi menemui sebuah taman yang dianggarkan seusia dengan kuil Seti I. Taman itulah dikatakan tempat Benthreshyt berdoa setiap pagi semasa dia menjadi seorang pendeta.
Dorothy juga menghabiskan waktu paginya di situ untuk bertapa dan berdoa. Dia melakukan ritual yang dikatakan menyembah tuhan-tuhan Mesir kuno.

Meskipun sudah agak berusia ketika berpindah ke Abydos, ramai ahli arkeologi bergantung pada Dorothy untuk menterjemah tulisan hiroglif yang mereka temui. Dorothy menakjubkan mereka berkali-kali dengan kepantasannya menterjemah dan memahami tradisi kuno Mesir.
Bahkan, Dorothy juga dikatakan mempunyai kelebihan mistik untuk merawat penyakit dengan menggunakan air kolam Osireion, dengan membacakan jampi mantera yang berasal dari tulisan Mesir purba.
Semasa hayatnya, Dorothy pernah menulis wasiat kepada bahagian arkeologi Mesir, meminta jika dia mati kelak, mayatnya hendaklah disemadikan berdekatan kuil Seti I.
Hasratnya itu ditunaikan setelah Dorothy menghembus nafas terakhir pada tahun 1981 sewaktu usianya 77 tahun. Jasadnya dimakamkan di belakang kuil Firaun Seti I di Abydos, sebagai satu penghargaan tertinggi pihak pemerintah atas kepakarannya yang banyak merungkaikan sejarah Mesir kuno terutama sewaktu zaman pemerintahan Firaun Seti 1.


