Mencari ‘pasangan’ soleh dan solehah

0
23

Menyebut perkataan soleh dan solehah memang mudah. Namun mendidik diri menjadi seperti mana yang disebut adalah satu perkara yang sangat sukar. Rasulullah s.a.w. pernah bersabda yang bermaksud,

“Orang mukmin yang paling sempurna imannya adalah yang paling mulia akhlaknya” –HR Tirmidzi dan an- Nasai.

Alangkah beruntungnya bagi sesiapa yang mempunyai pasangan serta memiliki nilai yang begitu tinggi ini. Bagi mereka yang berhajat mendapat pasangan sebegini, perbetulkan diri sendiri dahulu dengan menambah nilai-nilai yang perlu ada. Ini kerana lelaki yang baik hanya untuk wanita yang baik dan begitu juga sebaliknya.

Tepuklah dada dan tanyalah iman masing-masing dalam memilih pasangan. Ayuh sama-sama kita patuhi panduan untuk mendidik diri menjadi soleh dan solehah agar berjaya memiliki serta membentuk pasangan seperti itu juga.

  • Taat perintah Allah.

Bagi mereka yang ingin mendapat ‘bonus’ di akhirat kelak, mereka perlu patuh dengan segala suruhan Allah S.W.T. dan bersungguh-sungguh meninggalkan larangan-Nya. Malah mereka ini juga akan mendapat gelaran ‘jutawan pahala’ setelah dihitung segala ibadat mereka di hadapan Allah kelak.

Beruntunglah bagi mereka yang berjaya memiliki pasangan sebegini kerana segala yang dilakukan berlandaskan kepatuhan dan ketaatan kepada Allah S.W.T.

Pasangan yang soleh/solehah adalah yang mentaati dan berbuat baik kepada kedua ibu bapanya
  • Menjaga hati ibu bapa

Walau apa sekalipun panggilan yang digunakan kepada ibu bapa, itulah permulaan kita sebagai manusia. Kerana mereka jugalah kita dapat melihat bulan, matahari serta melihat alam semesta ciptaan Allah S.W.T. ini.

Sebagai seorang anak, jangan sesekali melupakan ibu bapa apatah lagi derhaka kepada mereka. Tanpa jasa mereka bermula mengandung, melahirkan, membesarkan serta memberi pendidikan kepada kita agar menjadi insan yang berguna. Sesungguhnya keredaan Allah S.W.T. bergantung pada keredaan ibu bapa sebagaimana firman Allah,

“Dan tuhan mu telah perintahkan, supaya engkau tidak menyembah melainkan kepada-Nya semata-mata, dan hendaklah engkau berbuat baik kepada ibu bapa. Jika salah seorang dari keduanya, atau kedua-duanya sekali, sampai kepada umur tua dalam jagaan dan peliharaanmu, maka janganlah engkau berkata kepada mereka (sebarang perkataan kasar) sekalipun perkataan “Ah”, dan janganlah engkau menengking menyergah mereka, tetapi katakanlah kepada mereka perkataan yang mulia (yang bersopan-santun).”  – al-Isra’: 23.

  • Merendah hati

Sebagai manusia, kita perlu sentiasa sedar bahawa apa yang dimiliki hari ini hanyalah pinjaman semata-mata. Segala kekayaan dan pangkat yang diperoleh hari ini bukan milik kita tetapi hak Allah S.W.T. secara mutlak dan jangan sesekali kita sombong dengan kehidupan sementara ini. Sentiasalah bersyukur dengan apa yang dikurniakan dan sentiasalah meringankan tangan membantu yang susah.

  • Berbuat baik sesama manusia dan makhluk lain

Islam menuntut kita berbuat baik bukan sahaja sesama manusia malah juga sesama makhluk lain yang diciptakan Allah S.W.T. Jangan sesekali menyakiti makhluk lain yang tidak berdosa sekiranya nafsu amarah muncul dalam diri. Jagalah alam sekitar dengan penuh rasa tanggungjawab.

Apabila terbinanya hubungan murni ini menunjukkan kita juga mempunyai ikatan yang baik dengan Yang Maha Pencipta. Lebih-lebih lagi Allah tidak menyukai akan golongan yang membuat aniaya atau kejahatan terhadap alam semesta ciptaan-Nya ini seperti firman Allah S.W.T.

“Dan tuntutlah dengan harta kekayaan yang telah dikurniakan Allah kepada mu akan pahala dan kebahagiaan hari akhirat dan janganlah engkau melupakan bahagian mu (keperluan dan bekalan mu) dari dunia dan berbuat baiklah (kepada hamba-hamba Allah) sebagaimana Allah berbuat baik kepada mu (dengan pemberian nikmat-Nya yang melimpah-limpah) dan janganlah engkau melakukan kerosakan di muka bumi sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang-orang yang berbuat kerosakan” – al-Qasas: 77.

Mendapatkan pasangan yang baik akhlaknya lihatlah kepada siapa ia berkawan.
  • Memilih kawan yang baik

Sehebat mana sekalipun seseorang itu, ia tetap memerlukan seorang kawan di dalam hidup ini kerana kadangkala ia banyak menghabiskan masa atau berkongsi cerita dengan kawan-kawan berbanding keluarga sendiri. Oleh itu, untuk mendapatkan pasangan yang baik, ikhlas dan mulia akhlaknya hendaklah terlebih dahulu bersahabat dengan golongan yang baik juga seperti sabda Rasulullah s.a.w.

“Seseorang itu dinilai (akhlaknya) dengan agama kawannya, maka perhatikanlah dengan siapa dia berkawan” – HR Abu Daud dan Tirmidzi.

Dari itu, carilah kawan yang boleh dijadikan teladan, bukannya sebagai lawan. Insya-Allah apabila berkawan dengan orang yang baik, kita berpotensi tinggi untuk bertemu jodoh dengan pasangan yang baik juga. Wallahu a’lam.