“Orang akan sentiasa cakap saya ‘sendu…” Nubhan sangkal dakwaan kejar glamor dan tumpang populariti artis terkenal

0
1106

GARA-gara bergandingan sebagai rakan duet untuk single Sekali Lagi, penyanyi Nubhan dituduh menumpang populariti penyanyi Siti Nordiana.

Menurut Nubhan, dia menafikan dakwaan mengatakan dia sengaja mencari jalan singkat dengan mempergunakan artis popular demi kepentingan diri.

Jelas Nubhan atau nama sebenarnya Ahmad Nubhan Ahamad,34, kecintaannya dalam industri seni bukan atas faktor ingin glamor tetapi disebabkan minat yang mendalam sekaligus dan tidak mahu dibiar berkubur.

“Istilah saya dah semakin ‘sendu’, itu semua orang akan sentiasa bercakap. Iyalah, dah lama tak aktif dalam industri, tiba-tiba muncul kembali dengan single duet bersama penyanyi wanita terkenal seperti Siti Nordiana.

“Orang akan tetap cakap saya tumpang glamor dan sebagainya tetapi sejujurnya cinta dan niat saya dalam industri bukan atas dasar glamor atau sengaja mahu meraih perhatian.

“Dunia nyanyian antara penguat saya untuk terus berada dalam industri seni, yang lain terpulanglah orang nak menilai saya ini ‘sendu’ ke apa. Tapi saya tetap akan berusaha dan buat sesuatu supaya minat saya ini tidak berkubur,” katanya kepada URTV.

GANDINGAN pertama kali Nana dan Nubhan dalam lagu Sekali Lagi sangat ‘menjadi’

Malah jelasnya lagi, kepercayaan yang diberikan oleh Siti Nordiana atau mesra disapa sebagai Nana menjadi penanda aras untuk dia terus menghasilkan karya baharu selain menggandakan usaha untuk terus kekal relevan di dalam industri

“Tawaran untuk merakamkan single Sekali Lagi dengan Nana ini satu peluang keemasan bagi saya. Walaupun kami sudah berkawan sejak 10 tahun lalu, belum pernah lagi kami menjadi rakan duet untuk sebuah lagu baharu.

“Namun, kita mesti ada usaha tak kiralah di peringkat apa sekali pun kita berada, kena ada usaha yang keluar daripada perasaan dan menjadi sesuatu.

“Kalau boleh saya katakan ini adalah usaha saya sendiri untuk buat sesuatu atas dasar minat dalam industri,saya rasa tak salah. Peluang dan rezeki, Allah datangkan berbeza-beza kepada setiap orang. Cuma saya harap, lagu ini berjaya dan diterima baik oleh peminat Nana dan juga saya sendiri,” ujarnya.

Sekali Lagi merupakan hasil ciptaan sepenuhnya oleh Nana dan komposernya pula ialah Sepet. Bagi peminat yang mahu menonton video muzik lagu ini, ia boleh ditonton di saluran Youtube Seventeen Eleven Music.