Dalam masyarakat Melayu, kisah Mahsuri bukan sesuatu yang asing. Kisah wanita berdarah putih itu sering didendangkan sejak dari zaman dahulu hinggalah sekarang.
Namun, mungkin ramai tidak tahu, ada sebuah lagi kisah legenda wanita yang juga dikatakan turut memiliki darah putih. Wanita itu digelar sebagai Puteri Lindungan Bulan. Legenda puteri berketurunan raja ini memiliki keunikan kisah yang tersendiri.
Sebuah makam yang terletak di atas bukit kecil di Kampung Siputeh di Jitra, Kedah dikatakan milik Puteri Lindungan Bulan. Makam ini saiznya lebih besar daripada kebiasaannya. Terdapat empat pasang batu nisan yang berada di atas kubur berkenaan. Jumlah tersebut menunjukkan petak makam itu menyimpan dua jasad.

Bercerita mengenai makam tersebut, wakil Pengerusi Persatuan Sejarah Malaysia Cawangan Kedah, menyatakan makam tersebut tidak hanya menyimpan jasad Puteri Lindungan Bulan, bahkan juga jasad ayahandanya iaitu Sultan Sulaiman Syah. Penduduk kampung percaya akan pemilikan tersebut.
Kisah legenda puteri ini berasal daripada cerita lisan yang berkembang di sekitar Kota Siputeh dan disampaikan turun temurun.
Puteri Lindungan Bulan mengisahkan tentang seorang puteri berketurunan raja, anakanda kepada Sultan Sulaiman Syah. Sultan Melayu Kedah ini memiliki dua orang puteri. Yang sulung bernama Puteri Mariam dan bongsu dinamakan sebagai Puteri Zaleha iaitu Puteri Lindungan Bulan.
Di antara kedua-dua anak baginda, Puteri Zaleha disebut sebagai puteri yang memiliki darah berwarna putih. Manakala darah Puteri Mariam merah seperti manusia normal. Perkara itu menjadikan Puteri Zaleha berbeza dengan Puteri Mariam. Darah putih yang dimilikinya menyebabkan dia kelihatan unik dan namanya sentiasa disebut-sebut.
Kedua-dua puteri Sultan Sulaiman Syah ini jelita rupa parasnya. Mereka juga mempunyai perwatakan yang sopan dan lemah lembut. Meskipun begitu, kecantikan Puteri Zaleha dikatakan lebih menawan berbanding Puteri Mariam.
Pada masa yang sama, kasih sayang Sultan Sulaiman Syah lebih tertumpah kepada puteri Zaleha. Bahkan, hubungan di antara keduanya begitu rapat sehingga tidak boleh berjauhan apatah lagi untuk berpisah. Puteri berdarah putih ini dijaga ibarat kata pepatah, bagai menatang minyak yang penuh.