Kerajaan PN sebelum ini memberi fokus merapatkan jurang digital antara luar bandar dan bandar. GAMBAR hiasan: Abd Razak Aid

Semakin panas isu pelaksanaan Pengajaran Dan Pembelajaran Di Rumah (PdPR) apabila ibu bapa mula menyuarakan kebimbangan dan merasa terbeban akan lambakan kerja sekolah anak-anak menerusi pembelajaran dalam talian.

Menurut seorang bapa, yang juga merupakan tenaga pengajar sekolah, Khairul Kamilin, seorang guru hanya layak memberikan tugasan andai subjek itu diajar sepenuhnya, bukan sekadar ‘melambakkan’ kerja sekolah tanpa bimbingan.

Malah dia turut menimbulkan persoalan mengapa tugasan kerja rumah secara online lebih banyak berbanding waktu persekolahan biasa.

Alya Khadeeja Mohd Zaidi,13, memulakan sesi persekolahan secara atas talian di gerai ibunya yang bersebelahan dengan sebuah restoran yang mempunyai ‘Wifi’ kerana rumahnya tiada kemudahan internet ketika ditemui di Shah Alam, baru-baru ini. GAMBAR: Abd Razak Aid

” ‘Pembelajaran online’ boleh terima lagi. Masalahnya yang berlaku bukan pembelajaran online, tapi ‘pemberian homework online’. Sakit kita ni sebagai parent”.

“Ini pendapat seorang ibu diruangan komen post influencer terkenal. Aku ni guru dan dalam masa yang sama bapa kepada 3 orang anak yang bersekolah. Dalam bab ni, aku memang akan pakai baju parent dan bersetuju dengan pendapat di atas. Lantaklah cikgu nak marah ke apa.

“Pernah sampai kami laki bini berselisih faham kecil di rumah dalam bab menyelesaikan tugasan yang cikgu bagi. Kerja seorang anak, tahan lagi. Duklah ajar. Tekan-tekan supaya faham. Masuk yang kedua, pun sama, berderet kerja. Semua nak kena ajar sendiri. Masuk hat ketiga mulalah ‘bebai’. Lagi-lagi bila push sekali, jalan sekali. Macam pahat dengan penukul. Mula lah nak menyinga, merimau segala.

“Naik rimas aku dengan keadaan macam tu. Anak sendiri nak kena tengok. Anak-anak orang yang berpuluh orang kat sekolah juga kena tengok. Aku kata, ‘stop’lah. Buat takat mana yang boleh je.

“Tapi ni kena hantar. Cikgu diorang mintak”. “Dah kalau budak tak boleh, nak hantar apa?

“Lantak situlah. Ada ke cikgu dia mengajar semua benda ni? Cikgu dia pun tak ajar kan? Tahu bagi page sekian-sekian, suruh buat. Lepas tu mintak hantar? Rentikanlah.

“Kita ajar takat mana budak tu boleh. Kita tahu anak kita boleh takat mana. Cukup”.

“Ya tuan-tuan. Ini ayat aku sebagai parent. Memang aku cikgu. Tapi aku tak layan sangat kehendak cikgu yang ‘humban’ kerja berlambak-lambak kat budak.

“Aku faham sangat, cikgu buat pun sebab disuruh buat macam tu. Tapi prinsip aku senang. Ketika memakai baju guru, aku pegang gini – kau hanya layak bagi kerja berkaitan benda yang kau dah ajar. Kalau kau tak ajar, kau tak layak bagi kerja.

“Kalau ibu bapa diorang yang ajar, ibu bapa diorang lah yang tahu latihan bagaimana yang sesuai untuk anaknya buat.

“Kalau nak juga bagi latihan, buatlah macam mana cara pun untuk ajar dahulu. Bagi video, zoom, google meet atau apa saja.

“Akuilah hakikat PdPR kita GAGAL jika kita cuma mampu longgokkan kerja tanpa disusuli pengajaran. Kalau satu subjek sampai 5 muka surat, kau kali jelah dengan 5 subjek atau 6,8,10 subjek. Itu sehari. Seorang anak. Kalau beranak-anak?

“Dannnn..itu baru sekolah kebangsaan. Sekolah agama pulak?

“Cikgu kata, kerja kami bagi tugasan je. Buat tak buat, bukan lagi tanggungjawab cikgu. Betul. Tapi ibu bapa yang prihatin ini lain macam sikit. Dia akan ada rasa keperluan untuk pikul beban tanggungjawab untuk selesaikan semua walaupun kata tiada paksaan. Tapi dalam masa yang sama dia tak mampu.

“Ada pula guru yang siap buat list ‘hantar tak hantar’ dalam group whatsapp. Semua ni jenis tak memikir kesan sampingan. Fikir tengkuk sendiri je. Tak paksa, tapi buat list. Itu paksa secara tak langsung namanya!

“Maaflah, aku sendiri secara peribadi lebih prefer menjawab dengan ketua jika aku gagal dalam pengajaran dari rumah berbanding nak nampak rekod cantik bagi kerja kat budak tapi pi bubuh beban kat parent nak mengajar separuh mati. Kita akui ada part kita gagal.”

“Mengarut je mengajar dari rumah ni. Tapi apa pilihan yang kita ada setakat ini? Tiada pilihan. Jadi buat cara tak ada. Beri tugasan sekadar berpada. Jangan bagi kerja serupa macam sekolah jalan macam biasa. Siap berlebih pula. Waktu sekolah macam biasa, kerja memang sebanyak itu ke? Fikirlah.”

Terdahulu, selaras dengan pelaksaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dilaksanakan, Kementerian Pelajaran Malaysia memaklumkan sesi persekolahan secara bersemuka yang dijadualkan bermula 20 Januari di seluruh negara ditangguhkan berikutan keadaan semasa jangkitan Covid-19.

Sumber : Facebook Khairul Kamilin