PANDEMIK COVID-19 sudah setahun menular tetapi pengakhirannya hanya Allah SWT yang tahu bila.
Realtinya impak wabak ini sangat besar terutama dari sudut ekonomi dan tak terkecuali bagi peniaga kecil yang selama ini pun kehidupan mereka bukanlah semewah mana.
Namun, sejak virus itu menjadi pandemik sejak setahun lalu, kehidupan mereka semakin tertekan tak ubah ibarat kais pagi makan pagi, kais petang makan petang.

Apatah lagi dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang menyaksikan SOP lebih ketat, rata-rata ‘peniaga tepi jalan’ ini buntu memikirkan bagaimana untuk memastikan rezeki mereka tidak terputus.
Menurut seorang peniaga kebab di Pantai Dalam Kuala Lumpur, Haslin Ahmad, 40, perniagaannya dan rakan-rakan lain merosot teruk kebelakangan ini kerana orang ramai bimbang untuk keluar rumah walaupun untuk membeli makanan.

Sedar dilema pelanggan yang perlu kerap berada di rumah seperti mana seruan kerajaan, namun sebagai peniaga tepi jalan, mereka perlu juga mencuba nasib membuka gerai walaupun menyedari jualan berkemungkinan besar tidak akan habis.
Justeru, sebagai satu pilihan, Haslin berharap kerajaan dapat membenarkan pasar malam dibuka semula biar pun dengan SOP lebih ketat agar pendapatan tidak terjejas seperti sekarang.
“Kami akan ikut SOP yang ditetapkan oleh kerajaan, asalkan pasar malam dapat dibenarkan kerana biasanya lebih ramai pengunjung,” kata Haslin yang turut berdepan ujian sebelum ini apabila suaminya mengalami strok.
“Namun Alhamdulillah, suami saya kini telah pulih dan dapatlah membantu di kedai,” kata wanita itu yang juga ibu kepada dua orang anak dan salah seorangnya autisme.
Bagi seorang peniaga sayur kampung, Ismail Osman, 60, ketika PKP ini, untuk mendapatkan modal perniagaan semula pun susah, tiga hingga empat hari baru dapat RM100.

“Sayur-sayur ni kalau tak habis semua jadi busuk dan layu,” kata Ismail yang sudah berniaga lebih 40 tahun bersama isterinya.
Seperti mana umat manusia yang lain, beliau juga berdoa agar virus COVID-19 ini dapat dikawal serta PKP ini berakhir seawal yang boleh.

Seorang peniaga buah-buahan, Rashid Junus, 47, pula berkata, ketika PKP ini separuh pendapatannya hilang.
“Sejak PKP, memang kurang sangat pelanggan. Orang ramai balik kerja mulai 5 petang hingga 7 malam. Waktu itulah biasanya ramai datang untuk membeli barang keperluan untuk masak makan malam atau persiapan esoknya.
“Kalau pukul 8 malam dah kena tutup, masa tak cukup untuk melayan pelanggan dan untuk mengemas kedai,” kata Rashid yang amat bersyukur jika kerajaan membenar perniagaan lain beroperasi sehingga 10 malam seperti mana premis makanan.

