INTEAM berduet dengan penyanyi dan komposer Ikhwan Fatanna

Selepas kejayaan kumpulan nasyid popular Inteam mengadakan konsert sempena ulangtahun ke-20 pada hujung tahun lalu, kini mereka tampil dengan single terbaharu berjudul Terima Kasih.

Lagu hasil ciptaan komposer Ikhwan Fatanna dan Wan Saleh itu dilancarkan di seluruh platform digital sehari selepas konsert dijayakan iaitu pada 13 Disember 2020 yang lalu.

“Kami melancarkan lagu baru ini sebagai hadiah dan tanda penghargaan serta terima kasih kepada seluruh pihak yang banyak menyokong kami sehingga mampu bertahan sehingga ke hari ini. Khususnya kumpulan Hijjaz, penggiat-penggiat seni di belakang tabir, para wartawan dan media serta seluruh peminat dan ahli keluarga kami yang sangat memahami” kata Syahril selaku ketua kumpulan Inteam.

Sementara itu, Hazamin menzahirkan rasa bertuah kerana Inteam berpeluang untuk bekerjasama dengan komposer muda seperti Ikhwan.

“Alhamdulillah, kami bersyukur kerana diberi kepercayaan untuk mengalunkan karya komposer muda yang sedang meningkat naik ini, bahkan dapat juga berduet dengan dia dalam lagu ini sebagai simbolik gabungan generasi lama dan baharu dalam dunia nasyid,” ujar Hazamin.

Malah, bait-bait lirik Terima Kasih juga sesuai didedikasikan kepada para petugas barisan hadapan yang sedang berhempas-pulas menyelamatkan mangsa wabak Covid-19 sekaligus memutuskan rangkaian kes wabak ini.

“Lagu ini juga kami tujukan kepada semua petugas barisan hadapan yang sedang berusaha dan berjuang untuk kita semua agar mereka terus bersemangat dan cekal. Kita juga haruslah sentiasa mematuhi SOP dan kekal duduk di rumah sekiranya tiada keperluan untuk keluar agar wabak ini dapat dihentikan segera,” tambah Rahim.

Selain mereka bertiga, Inteam turut dianggotai oleh Hisyam.

Video muzik lagu Terima Kasih kini boleh ditonton di saluran Youtube Inteam Digital manakala audio lagu ini boleh di strim di seluruh platform Digital seperti Spotify, Deezer, KKBox, Joox dan lain-lain.