Proses pembersihan dan sanitasi di lakukan di salah sebuah pusat beli-belah di Kuala Lumpur. GAMBAR: Abd Razak Aid

KUALA LUMPUR – Dewan Perniagaan dan Industri Kesatuan Eropah (EU)-Malaysia (EuroCham Malaysia) menjelaskan kandungan surat dalaman yang tular tidak menyatakan penutupan sepenuhnya aktiviti ekonomi akan dilaksanakan selepas tempoh Perintah Kawalan Pergerakan kali kedua (PKP 2.0) berakhir pada 4 Februari ini.

EuroCham Malaysia dalam satu kenyataan berkata, apa yang dinyatakan dalam surat bertarikh 23 Januari itu adalah merujuk penekanan Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) yang meminta semua kekal fokus memainkan peranan bagi memastikan satu lagi PKP dielakkan.

“Kami ingin merujuk kepada edaran dalaman berhubung perbincangan tidak rasmi EuroCham Malaysia bersama MITI pada 22 Januari.

“Surat pekeliling dalaman yang dihantar kepada semua ahli kami hanya untuk menyampaikan intipati tidak rasmi dan usaha terpuji kerajaan Malaysia untuk menangani COVID-19.

“Intipati perbincangan tidak rasmi itu bertujuan untuk meningkatkan kesedaran tentang bagaimana komuniti perniagaan dapat memainkan peranan penting dalam meratakan keluk COVID-19 dan kesan ekonomi jika kita semua tidak memainkan peranan aktif,” kata badan itu seperti dilapor BH Online.

Menurut kenyataan itu, surat yang telah mencetuskan kebimbangan pelbagai pihak itu berkali-kali menyatakan sumbangan semua pihak amat ditagih untuk memutuskan rantaian pandemik.

“Kami ingin menjelaskan bahawa penekanan MITI adalah merujuk kepada peningkatan kes jangkitan COVID-19 yang menuntut peranan semua, bukannya penutupan aktiviti ekonomi,” katanya.

Bca artikel berkaitan: Jika kes terus meningkat, kegiatan ekonomi mungkin ditutup– EuroCham

Pengerusi EuroCham Malaysia, Oliver Roche, berkata organisasi itu menggesa komuniti perniagaan memandang serius penularan jangkitan yang berkaitan dengan pelbagai sektor iaitu perkilangan, tapak pembinaan dan tempat kerja.

“Adalah penting bagi kita memainkan peranan dengan melabur dalam melaksanakan prosedur operasi standard (SOP) lebih ketat bagi mengelakkan satu lagi pelaksanaan PKP sepenuhnya,” katanya.