Surah al-Baqarah mengandungi pelbagai fadilat antaranya sebagai zikir, akidah, doa, kisah-kisah teladan dan hukum hakam Islam. Surah ini penuh dengan barakah yang mempunyai pengaruh positif dan efektif dalam mengusir syaitan dari rumah serta melumpuhkan sihir.
Baginda s.a.w. bersabda,
“Sesungguhnya setiap sesuatu mempunyai puncak. Sesungguhnya puncak al-Quran adalah surah al-Baqarah. Barangsiapa yang membacanya di rumah pada malam hari maka syaitan tidak akan masuk ke dalam rumahnya selama tiga malam dan barang siapa yang membacanya di rumahnya pada siang hari maka syaitan tidak akan memasuki rumahnya selama tiga hari.”
Adapun dalam surah al-Baqarah terdapat ayat yang sangat besar fadilatnya bagi manusia jika ia di amalkan. Dua ayat terakhir dari surah ini pastinya akan menjadi pemelihara bagi yang membacanya. Itu disebutkan oleh Ibnu Mas’ud r.a. bersabda Baginda s.a.w.
“Barangsiapa yang membaca 2 ayat terakhir surah al-Baqarah dalam satu malam maka keduanya cukup baginya atau dapat menjaga orang yang membacanya (dari hal-hal yang tidak diinginkan)” HR Muttafaq A’laih
2 ayat terakhir ini merupakan penutup al-Baqarah. Ayat itu mengandungi perutusan doa kepada Allah, “Ya Tuhan kami, janganlah Engkau hukum kami”. Ia sarat dengan permintaan ampun atas setiap dosa yang pernah dilakukannya.
Ayat ini juga mengandungi kekusyukan kepada Allah s.w.t. serta permohonan ampun dan rahmat kerana manusia tidak pernah lepas dari kesalahan. Sabda Baginda s.a.w.
“Semua keturunan Adam sentiasa melakukan kesalahan dan pelaku kesalahan yang terbaik adalah yang bertaubat.”
Diriwayatkan oleh Abu Dzarr r.a. dia berkata, Rasulullah s.a.w. bersabda,
“Sesungguhnya Allah s.w.t. menutup surah al-Baqarah dengan dua ayat yang Dia berikan kepadaku dari perbendaharaan Nya yang terletak di bawah arasy. Maka pelajarilah keduanya dan ajarkanlah isteri dan anak kamu kerana ayat-ayat itu merupakan solat, bacaan dan doa”. HR al-Hakim
Ayat ini merupakan pencegah segala keburukan dan penarik segala kebaikan. Maka hendaklah kita selalu membacanya setiap hari atau malam. Bahkan ia juga menjadi perisai dan penghalang bagi segala anasir yang buruk. Semoga dengan amalan kita terhadap ayat 285 dan 286 surah al-Baqarah pastinya akan memberi lebih keberkatan kepada pembacanya. Wallahu a’lam