PRIHATIN dengan nasib yang menimpa mangsa banjir yang melanda negeri Pahang baru-baru ini, Penerbit Eksekutif Kembara Sufi Production, Ustaz Muhammad Al-Fadzil Hidzir terpanggil untuk membantu dan menghulurkan sumbangan kepada penduduk yang terjejas.
Menurut Muhammad Al Fadzil, projek kemanusiaan itu turut disertai pasukan Kembara Sufi yang turun ke beberapa kawasan banjir antaranya Maran, Bera, Pekan, Chenor dan Temerloh bagi mengagihkan barang-barang bantuan yang diperlukan seperti makanan asas, dapur gas, makanan kesihatan tambahan KS Legacy, alatan solat, wang ringgit dan beberapa barangan lain mengikut kesesuaian.
“Bila kami sendiri turun ke beberapa kawasan yang terjejas, hati terus jadi sebak. Banyak harta benda yang musnah memandangkan banjir kali ini bukan sahaja membawa air tetapi lumpur. Ini yang menyukarkan lagi usaha pembersihan setelah banjir surut.
“Untuk mencuci lumpur pula, bukan mudah tambahan pula nak menghilangkan bau lagi. Ini cabaran yang terpaksa dihadapi oleh semua mangsa sebaik sahaja pulang ke rumah dari pusat pemindahan,” katanya yang juga anak kelahiran Jengka 18.
Meskipun ramai badan bukan kerjaaan (NGO) yang ingin turut serta dari negeri lain, namun semuanya terhad disebabkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) selain mahu mengurangkan risiko penyebaran virus Covid-19.
Pun begitu, sebagai sebuah syarikat produksi yang berpusat di Shah Alam dan Kuantan, Pahang, mereka turut merasa bertanggungjawab untuk membantu sesiapa sahaja yang memerlukan.
“Setiap daerah kita beri bantuan berbeza-beza melalui wakil. Di Maran misalnya, semua bantuan kami serahkan kepada Ahli Dewan Undangan Negeri, Datuk Seri Shahaniza Shamsuddin yang juga Ahli Mesyuarat Kerajaan Negeri Pahang.
“Ada juga daerah yang kami berikan kepada pemimpin tempatan. Mereka jugalah yang akan memilih keluarga mana yang layak menerima dan ada juga kawasan yang kami turun sendiri,” katanya lagi.
Tambahnya lagi, di saat negara berhadapan dengan pandemik Covid-19 dan keadaan ekonomi yang tidak menentu, sesiapa sahaja akan terkesan apabila didatangkan lagi dengan ujian lain.
“Bagi yang mampu, bersedekahlah seperti mana yang dituntut oleh Rasulullah SAW. Sedekah ini banyak manfaat dan dengan bantuan yang diberikan sedikit sebanyak akan meringankan beban mereka,” tuturnya yang sudah menerbitkan banya drama popular tempatan serta program travelog dalam dan luar negara.

Untuk rekod pada kali ini nilai bantuan dianggarkan lebih RM50,000 dan dapat membantu 500 keluarga untuk kembali memulakan hidup baharu.
Terdahulu, sejak PKP pertama tahun lalu, syarikat ini juga telah membelanjakan lebih RM150,000 yang diagihkan kepada 1,500 buah keluarga bagi melaksanakan bantuan berbuka puasa kepada keluarga yang memerlukan di Pahang dan Perak.
