Orang ramai dinasihati terus berhati-hati berikutan kes Covid-19 masih tinggi di seluruh negara dengan 4,239 kes dilaporkan pada 28 November. GAMBAR: Abd Razak Aid

SETAHUN penularan COVID-19 di Malaysia, sehari ke sehari pakar-pakar di seluruh dunia belajar mengenai virus yang telah mengubah kehidupan lebih 6 bilion umat manusia.

Misalnya, ketika awal virus ini dikesan, ada pihak mahu pintu sempadan terus dibuka untuk pelancong sihat.

Namun selepas mengetahui sifat COVID-19, langkah membuka sempadan adalah yang terakhir perlu dilakukan.

Yang tidak berubah dalam tempoh setahun ini ialah seruan kepada rakyat supaya mematuhi prosedur operasi standard (SOP).

Hari ini juga sempena genap setahun kes pertama virus itu dilaporkan, Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah terus mengulangi nasihat berkenaan.

“Semua tidak kira siapa pun kita, mesti menggalas tanggungjawab ini untuk menyelamatkan negara ini bersama-sama.

“Patuhi SOP, pakai pelitup muka dengan betul, basuh tangan dan kekalkan penjarakan fizikal,” katanya dalam satu hantaran di Facebook.

Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Adham Baba (kiri) berbincang bersama Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah sebelum mesyuarat khas Majlis Keselamatan Negara Oktober lalu./ Gambar laman web PMO

Namun, realitinya ada segelintir yang masih memakai pelitup muka di dagu selain mengabaikan penjarakan fizikal.

Baca artikel berkaitan: “Saya ingatkan semua tak kira pangkat..” pesanan SOP makan dalam

Noor Hisham Kongsi ayat al-Quran, seru petugas niat berkhidmat kerana Allah

Kelmarin misalnya, 130 saman dikeluarkan kerana tidak memakai pelitup muka dan 68 lagi disebabkan kesalahan penjarakan fizikal.

Sedangkan, kes COVID-19 sudah berada dalam komuniti dan ini yang menjadikan penularannya lebih 3,000 setiap hari.

Ini bukan soal nyawa individu berkenaan sahaja, tetapi untuk mengelakkan virus berkenaan merebak kepada orang lain.

Jika merebak, banyak pihak yang susah. Petugas kesihatan sudah menggunung bebanan tugas. Hampir tak tertanggung mereka bila lebih 42,000 di seluruh negara kini perlu dirawat.

Bagaimanapun seperti kata Noor Hisham, di sebalik kelesuan mental dan fizikal, petugas kesihatan dan seluruh rakyat Malaysia perlu terus kekal berjuang – berjuang untuk menyelamatkan negara.

“Sangat menyedihkan bagi saya kerana selepas setahun kita masih berjuang melawan COVID-19. Bahkan penghujungnya belum kelihatan,” ujarnya.

Gambar FB Dr Noor Hisham Abdullah

Namun sebelum mengakhiri nota pesanan beliau, Noor Hisham terus menyuntik optimistik yang rantaian penularan COVID-19 ini mampu dibendung.

Bagaimanapun kata penerima Anugerah Maal Hijrah Kebangsaan itu, seluruh rakyat perlu bersatu padu terus berjuang termasuk kekal di rumah jika tiada urusan penting di luar.

“Insya-Allah,” katanya.